KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merayu orang ramai terutama yang mempunyai darah kumpulan A untuk tampil menderma bagi meningkatkan stok darah jenis tersebut.
Menerusi Facebook rasminya, KKM memaklumkan, situasi terkini negara ketika ini menyebabkan bekalan darah semakin diperlukan bagi menampung keperluan pesakit pada setiap hari.
“Kepada penderma darah kumpulan darah A, kami tahu anda ‘awesome‘, kami tahu anda ‘amazing’, kami tahu anda ‘attractive’. Kami sangat memerlukan darah adiwira anda,” katanya melalui posting tersebut.
Menurut KKM lagi, penderma boleh berbuat demikian menerusi Pusat Pendermaan Darah Statik di:
– Pusat Darah Negara, Jalan Tun Razak pada Isnin hingga Jumaat (jam 7.30 pagi hingga 8 malam) atau Sabtu, Ahad dan cuti umum (jam 8 pagi hingga 8 malam)
– Suite Derma Darah Puspanita, Presint 10, Putrajaya pada Isnin hingga Ahad (jam 10 pagi hingga 6 petang)
– Donation Suite, Midvalley, Kuala Lumpur pada Isnin hingga Ahad (jam 10 pagi hingga 9 malam).
Mereka juga boleh berbuat demikian melalui kempen-kempen darah yang berdekatan dengan mereka, katanya.
“Darah tanpa A, hanyalah ‘DRH’. Para Penderma darah A sekalian, kami menunggumu,” tambah KKM. – MalaysiaGazette