Mohamadou Sumareh.

KUALA LUMPUR – Media sukan Thailand telah membuat pendedahan mengenai gaji yang diterima oleh pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh bersama Police Tero FC.

Siamsport melaporkan Sumareh menerima gaji sekitar ฿275,000 atau sekitar RM36,000 sebulan yang disifatkan antara termurah bagi pemain import dalam saingan Thai League 1.

Selain itu, Police Tero dianggap bertuah kerana mereka berjaya menandatangani pemain sayap berkualiti seperti Sumareh dan membayar gaji yang tidak terlalu tinggi untuk pemain tersebut.

Sumareh menyertai pasukan tersebut pada Ogos lalu, selepas bekas pemain Pahang ini menandatangani kontrak sehingga penghujung musim 2020.

Selain Sumareh, Malaysia mempunyai dua lagi wakil dalam saingan Thai League 1 musim ini, yang mana Dominic Tan beraksi bersama Police Tero manakala Norshahrul Idlan Talaha beraksi bersama BG Pathum United. – MalaysiaGazette