Alam sekitar merupakan amanah setiap lapisan masyarakat dalam kedudukan mereka masing-masing, dan perlu bertindak sewajarnya untuk melestarikan alam sekitar ini.-Gambar hiasan.

PADA 21 Oktober setiap tahun, kita meraikan Hari Alam Sekitar Negara (HASN). Tema tahun ini ialah ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’.

Peliharalah alam sekitar dengan baik untuk dinikmati pada hari ini dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Kita bertanggungjawab melestari kualiti alam sekitar pada hari ini untuk diwariskan kepada generasi akan datang kata YB Menteri Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Saya menyambut baik dan bersetuju dengan YB Menteri bagi menyedarkan masyarakat tentang kepentingan alam sekitar ini.

Sambutan ini adalah bertujuan untuk mengajak seluruh masyarakat meraikan semangat kecintaan kepada alam sekitar sekaligus membantu menjaga bumi untuk ke arah yang lebih baik.

Di Malaysia, sekitar 48 peratus daripada negara adalah hutan dara. Hutan simpan kekal dan sebahagian besarnya berada di kawasan pengunungan. Ini adalah jumlah yang sangat luas berbanding kebanyakan negara maju.

Walaupun Malaysia adalah negara membangun, tetapi tidak seperti kebanyakan negara maju yang sudah memusnahkan hutan mereka untuk laluan pertanian, industri dan penempatan puluhan dekad lalu.

Pelbagai usaha telah dirancang dan dijalankan untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam masyarakat Malaysia hari ini.

Sambutan Hari Alam Sekitar Negara adalah masa yang tepat bagi pihak berkuasa untuk mengukur dan menilai serta menyemak pencapaian semasa segala pelan tindakan dan matlamat yang dirancang.

Masa depan alam sekitar, kualiti kehidupan sejagat dan kesejahteraan generasi masa depan berada di tangan kita. Justeru, Hari Alam Sekitar Negara tidak seharusnya disambut begitu sahaja tanpa wujudnya elemen untuk menerap, mengajak dan mendidik masyarakat seluruhnya secara berterusan untuk terus memelihara dan memulihara alam sekitar sejagat.

Sudah tiba masanya untuk kita sebagai masyarakat mengamalkan gaya hidup yang ‘mesra alam’ secara meluas dalam kehidupan seharian disamping turut terlibat secara aktif dalam usaha pemulihan alam sekitar ini.

Alam sekitar dan air khususnya menjadi liputan utama hari ini. Media massa juga boleh memainkan peranan dan mempengaruhi pembaca dalam membina persepsi yang betul terhadap alam sekitar ini.

Selain daripada melaporkan apa yang terjadi, media massa juga memainkan peranan untuk mengubah dan membentuk sikap pembaca ke arah bertindak secara proaktif.

Alam sekitar merupakan amanah setiap lapisan masyarakat dalam kedudukan mereka masing-masing, dan perlu bertindak sewajarnya untuk melestarikan alam sekitar ini.

Persatuan Wira Air (PERWIRA) menyarankan isu alam sekitar memerlukan kepada pemupukan nilai-nilai murni berdasarkan kepada acuan budaya yang mantap, bukan arahan dan penguatkuasaan semata-mata.- MalaysiaGazette

Dhiyauddin Saharudin
Presiden
Persatuan Wira Air (PERWIRA)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast