KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berangkat pulang dari Istana Negara pada pukul 6.05 petang selepas baginda menghadiri pertemuan khas antara Raja-Raja Melayu hari ini.
Sebelum itu, pertemuan yang berlangsung hampir tiga jam itu menyaksikan kenderaan rasmi pertama yang membawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar keluar pukul 5.12 petang diikuti 40 minit kemudian Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Kenderaan rasmi seterusnya yang berangkat pulang adalah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj disusuli Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Ia diikuti Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Melayu yang terakhir berangkat pulang adalah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pukul 6 petang.
Sultan Kelantan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pula tidak kelihatan sejak ketibaan Raja-Raja Melayu pukul 2 petang.
Al-Sultan Abdullah pula tiba di Istana Negara kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Sementara itu, mesyuarat yang bermula 2.30 petang itu membincangkan beberapa cadangan yang dipersembahkan oleh kerajaan terutamanya mengenai penularan pandemik Covid-19.
Ia hanya akan melibatkan Raja-Raja Melayu dan tidak membabitkan Yang di-Pertua Negeri atau mana-mana ahli politik.
Sementara itu, satu kenyataan rasmi dijangka dikeluarkan oleh Istana Negara berhubung hasil pertemuan dalam masa terdekat ini. – MalaysiaGazette