KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) akan mengurangkan kekerapan tren LRT, MRT dan Monorel mulai esok sehingga berakhir arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana), Datin Norlia Noah berkata, pihaknya telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan untuk mengimbangi kekerapan tren berdasarkan permintaan ekoran penurunan besar aliran penumpang akibat PKPB.
“Perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel ini, bagaimanapun, akan beroperasi mengikut masa yang sama daripada pukul 6 pagi hingga tengah malam. Hanya kekerapan berubah mengikut masa dan permintaan.
“Kekerapan yang ditetapkan ini, bagaimanapun, adalah sekadar panduan. Operasi tren-tren di semua laluan adalah dipantau rapi oleh Pusat Kawalan Operasi, yang diberi kuasa untuk menambah tren sekiranya diperlukan kerana peningkatan dalam permintaan pada masa-masa tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Norlia memberitahu, kekerapan perkhidmatan bas-bas Rapid KL dan bas perantara Jom Naik MRT turut dikurangkan mulai esok kerana permintaan yang menurun dengan banyak dalam tempoh PKPB.
Menurutnya, berdasarkan data, trend menunjukkan jumlah penumpang menurun termasuk pada waktu puncak.
“Penumpang pada waktu luar puncak, bagaimanapun, masih sama tetapi adalah amat rendah. Justeru itu, perkhidmatan
Rapid Bus adalah berdasarkan pelan perjalanan hujung minggu, yang merupakan penurunan sebanyak 20 peratus daripada perjalanan pada hari bekerja,” ujarnya.
Bagaimanapun, tambah Norlia, Rapid Bus akan terus memantau rapi melalui operasi Pusat Kawalan Bas.
Untuk kemudahan pengguna, Prasarana menggalakkan penumpang menggunakan aplikasi google maps/moovit dan lihat sendiri kedudukan bas di myrapidbus.prasarana.com.my/kiosk untuk merancang perjalanan yang lebih baik. – MalaysiaGazette