KUALA LUMPUR – Penyerang muda Singapura, Ikhsan Fandi terus mengganas dalam saingan Divisyen Kedua liga bola sepak Norway apabila dia menjaringkan dua gol ketika FK Jerv menewaskan Oygarden, kelmarin.
Jerv menerima kunjungan pelawat di tempat sendiri dan mereka berjaya menampilkan aksi memberangsangkan apabila memenangi perlawanan dengan keputusan 4-2.
Ikhsan yang diturunkan dalam kesebelasan utama berjaya menjaringkan dua gol, masing-masing pada minit ke-50 dan 64 sekaligus melonjakkan kedudukan kelab itu ke tangga keenam.
Sejak menyertai Jerv dari Raufoss bulan lalu, anak legenda Singapura itu, Fandi Ahmad menampilkan prestasi cemerlang apabila telah membuat enam penampilan, empat sebagai pemain kesebelasan dan dua lagi sebagai pemain gantian.
Selain itu, pemain berusia 21 tahun itu turut menjaringkan lima gol setakat ini, satu prestasi yang jauh lebih baik berbanding ketika beliau beraksi bersama Raufoss dan hanya satu gol dijaringkan. – MalaysiaGazette