Bendahari Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hadir pada Mesyuarat Barisan Nasional di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan mendapatkan pandangan daripada Ahli-Ahli Parlimen parti itu  mengenai sama ada wujud keperluan untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau mahu mendapatkan padangan daripada rakan-rakannya dalam parti berhubung perkara tersebut petang ini.

“Itulah sebab kita bincangkan, saya mahu dengar pandangan BN,” katanya ringkas kepada media di Lobi Menara Dato Onn, PWTC di sini hari ini.

Beliau ditanya wartawan sama ada Muhyiddin perlu meletak jawatan susulan keputusan Majlis Raja-Raja yang menolak cadangannya untuk mengisytiharkan darurat.

Sementara itu, ketika ditanya adakah UMNO masih lagi menyokong Perikatan Nasional (PN), Hishammuddin yang juga Menteri Luar memberitahu, beliau tidak mengetahui tentang perkara berkenaan.

“Saya tidak tahu kita tunggu mesyuarat UMNO dulu,” ujarnya.

Terdahulu, Hishammuddin bersama beberapa lagi rakannya dalam Kabinet iaitu Khairy Jamaluddin, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Halimah Saddique tiba di PWTC selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Ahli-ahli Parlimen lain mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ daripada menjawab pertanyaan yang diajukan oleh media yang telah berkumpul sejak pukul 12 tengahari tadi.

Ketika berita ini ditulis, beberapa Ahli Parlimen BN yang memegang jawatan menteri sudah berada di bangunan berkenaan untuk membincangkan isu politik semasa tanah air. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.