KUALA LUMPUR – Kemenangan juara dunia, UFC Lightweight, Khabib Nurmagomedov menentang Justin Gaethje semalam membuatkan dia terus dikagumi tidak kira kawan mahupun lawan.
Khabib adalah peninju beragama Islam pertama yang berjaya merangkul kejuaraan UFC dan berjaya mempertahankan kejuaraan tersebut dengan menewaskan seterunya, Conor McGregor.
Dia yang berusia 32 tahun dan memiliki nama penuh Khabib Abdulmanapovich Nurmagomedov dilahirkan di sebuah pekan kecil dikenali sebagai Dagestan di Russia.
Dibesarkan di ibu kota wilayah tersebut iaitu Makhachkala, Khabib dan keluarganya turut berhijrah ke Kiev, Ukraine.
Gusti adalah sukan yang popular di Dagestan dan dia tidak ketinggalan mempelajari ilmu gusti sejak dari usia remaja.
Guru pertama Khabib, tidak lain dan tidak bukan, ialah ayahnya yang merupakan seorang veteran perang.
Semalam adalah perlawanan pertama disertai Khabib selepas bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov, meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada Julai lalu.
Abdulmanap berusia 57 tahun dan menjadi orang terpenting yang membentuk Khabib menjadi petarung yang disegani lawan sejak sekian lama.
Menurut laporan Forbes pada 2017, lawan yang ditewaskan oleh Khabib iaitu McGregor memperolehi bayaran berjumlah £21 juta melalui satu pertarungan, tidak termasuk keuntungan dari sumber lain dan tajaan.
Jumlah tersebut sebenarnya turut dipengaruhi oleh populariti dan nilai pasaran seseorang peninju untuk menarik tontonan dan tajaan.
Sepanjang tempoh menjadi petarung MMA, Khabib memenangi semua 29 perlawanan yang disusun untuk dia, dengan lapan daripadanya melalui KO dan 11 lagi submission.
Pada Julai 2016, Khabib telah menolak saru pelawaan perlawanan penting di UFC 200 yang diadakan di Las Vegas.
Sebab utama Khabib berbuat demikian ialah kerana beliau tidak mahu menjejaskan tanggungjawab beliau untuk berpuasa di bulan Ramadan.
Jika Khabib menerima tawaran tersebut, bermakna Khabib harus mengorbankan ibadah puasa demi perlawanan dan keuntungan semata-mata.
Peninju UFC ini mempunyai gimik mereka tersendiri ketika memasuki arena sebelum pertarungan iaitu penutup kepala yang merupakan sejenis topi yang dikenali sebagai papakha.
Ia ialah sebahagian dari aksesori dan kebanggaan budaya etnik Avar dan pemakaiannya adalah popular di Dagestan.
Sementara itu, sukan UFC atau Ultimate Fighting Championship iaitu salah sebuah sukan berasaskan pertarungan dan hiburan.
Ia adalah salah satu sukan yang berkembang dengan pesat sejak 1993 dan berasal dari Amerika Syarikat.
Hari ini UFC dipertandingkan menerusi pelbagai kategori dan berjaya menarik perhatian peminat sukan yang berasaskan pertarungan dari seluruh dunia. – MalaysiaGazette