Semua ahli politik harus melihat diri mereka masing-masing serta tidak menuding jari kepada orang lain atas segala kemelut politik yang berlaku kini. Rata-rata rakyat sudah muak dengan segala kerenah ahli politik dalam negara kita.- Gambar hiasan.

KEMELUT politik yang berlaku pada ketika ini dalam negara kita bukan disebabkan oleh rakyat tapi kerana ahli politik itu sendiri.

Rakyat tidak bersalah apa-apa pun. Jangan salahkan rakyat ataupun pengundi kerana memberi undi kepada mana-mana ahli politik ataupun parti politik ketika proses pilihan raya umum yang lalu kerana rakyat ataupun pengundi hanya menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang pengundi.

Setelah proses pilihan raya tamat menjadi tugas dan tanggungjawab setiap ahli politik yang telah dipilih pula untuk menjalankan segala amanah yang telah diberikan kepada mereka untuk berkhidmat kepada rakyat.

Soalnya sekarang adakah ahli politik yang telah dipilih ini menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sepenuhnya sebagai pemimpin ataupun tidak? Ataupun mereka hanya sibuk berpolitik?

Semua ahli politik harus melihat diri mereka masing-masing serta tidak menuding jari kepada orang lain atas segala kemelut politik yang berlaku kini. Rata-rata rakyat sudah muak dengan segala kerenah ahli politik dalam negara kita.

Isu lompat-melompat parti yang tidak berkesudahan serta kes-kes jenayah berat yang dihadapi oleh ahli politik dalam negara kita membuatkan rakyat tidak dapat hidup dengan aman dan tenteram.

Penularan Novel Koronavirus (Covid-19) pada ketika ini telah menyulitkan kehidupan semua lapisan rakyat.

Kebanyakan rakyat di bawah khususnya mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang inginkan semua ahli politik mencari jalan penyelesaian membendung penularan virus Covid-19 ini dan mengurangkan impak negatif akibat daripada penularan virus ke atas ekonomi.

Jika semua ahli politik benar-benar sayangkan rakyat, segala kemelut atau drama politik yang berlaku kini harus dihentikan dengan serta-merta.

Semua ahli politik harus ketepikan segala ego yang mereka ada serta bersatu bagi membantu semua lapisan rakyat dalam mengharungi segala masalah yang sedang dihadapi pada masa ini.

Sekarang bukan masanya untuk ahli politik memikirkan soal kuasa. Sekarang adalah masa untuk setiap ahli politik memikirkan soal rakyat dibawah sana yang sedang terkapai- kapai untuk mendapatkan bantuan bagi meringankan masalah yang sedang mereka alami.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast