KUALA LUMPUR – Kalau sudah minat apa sekali halangan bukan lagi alasan.
Begitu juga seorang usahawan, Datuk Seri Rusli Zaman. Di sebalik pakaian sut dan tali leher, tokoh usahawan muda Kelantan ini sebenarnya meminati hot toys adiwira.
Ia juga menggambarkan sisi lain kepada Pengerusi Eksekutif Dubaiz United Berhad itu memandangkan hobinya itu bukan kos sahaja tinggi tetapi juga perlu memiliki kesabaran.
Menurut Rusli, kebanyakan hot toys adiwiranya terpaksa ditempah setahun awal jika mahu memilikinya.
“Contohnya, Spiderman, saya tempah tahun 2018 dan tahun 2019 barulah sampai ke tangan saya,” ujarnya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Itu pun, menurut Rusli, itu pun bergantung kepada banyak perkara memandangkan ia merupakan buatan tangan.
Dalam banyak-banyak hot toys yang dimilikinya, item keluaran terhad Batman paling mahal dibelinya ialah Iron Man Mark 47 berharga RM10, 500 dan Batman bernilai RM5,000.
Bukan itu sahaja, bagi mendapatkannya beliau terpaksa pergi ke Boston, Amerika Syarikat untuk mencari koleksi yang keluarannya terhad.
“Hot Toys yang saya paling sayang ialah John Wick yang menggambarkan dia menyerang penjahat yang membunuh anjingnya pemberian isterinya,” katanya lagi.
Selain koleksi patung adiwira, Rusli juga menyimpan koleksi patung berdasarkan filem-filem dan paling digemarinya seperti watak Prince Dastan.
“Saya suka filem Prince Of Persia bagaimana seorang putera melawan kejahatan bapa saudaranya sendiri,” ujarnya.
Ada juga koleksi patung berdasarkan babak dalam filem seperti dalam filem Spiderman.
Rusli juga menyimpan koleksi patung Suria Perkasa Hitam – siri televisyen yang diminatinya semasa kanak-kanak.
“Ini produk dari Jepun, susah dapat. Keluaran tahun 2008 harga RM1,000 dan keluaran terhad, orang sanggup bayar sampai RM2,000,” ceritanya.
Beliau membelanjakan kira-kira ratusan ribu ringgit bagi mendapatkan kesemua koleksinya sekarang.
Bagaimanapun, Rusli kecewa kerana patung pahlawan daripada komik bersiri yang diminatinya semasa kecilnya lukisan Tony Wong tidak ada dalam bentuk hot toys.
“Kalau ada patung macam komik Dendam Kesumat mungkin saya kumpul,” katanya.
Bagaimanapun, Rusli tidak menyimpan adiwira wanita kerana kebanyakannya berpakaian seksi.
Menurut beliau, koleksi yang dimilikinya bukan sahaja untuk dirinya malah bersedia ‘meminjamkannya’ sekiranya ada pameran bertujuan untuk projek amal dan sebagainya.
Menurutnya, koleksi ini bukan untuk kanak-kanak dan di Malaysia, ramai usahawan yang mengumpulnya termasuk dalam kalangan selebriti.
Antaranya Ustaz Amin idris, Datuk Afdlin Shauki dan Faizal Tahir.
Malah ada juga daripada golongan orang biasa sehingga golongan profesional yang mengumpulnya.
Bagi Rusli, hobinya itu bagi kepuasan sendiri yang mula mengumpul hot toys sejak tahun 2006 sehingga sekarang malah pernah juga menganjurkan pameran yang sebahagian keuntungan disalurkan kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim serta pengajian tahfiz.
Sesiapa berminat untuk menganjurkan pameran melibatkan koleksi hot toys miliknya boleh menghubungi pembantunya, Siti Zubaidah di talian 019 593 3600. – MalaysiaGazette