MIRI – Seorang mangsa insiden MV Dayang Topaz yang meninggal dunia Selasa lepas, Jurutera Kedua Aaron Michael Rajasgran dijangka diterbangkan ke Kuala Lumpur esok dan mayatnya akan dibakar pada 10 pagi Sabtu ini, kata balu mendiang Nateshwari Dhusan.
Setibanya di Kuala Lumpur mayat mendiang akan dibawa ke rumah ibu bapanya di Kampung LBJ, Seremban, Negeri Sembilan untuk upacara penghormatan terakhir.
Ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi ‘Messenger’ petang ini, beliau berkata, mayat suaminya akan dimandikan dahulu sebelum dibawa pulang ke rumah.
Aaron, 34, yang maut akibat lemas menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah, meninggalkan Nateshwari dan dua anak perempuan yang masing-masing berusia lima dan lapan tahun.
Terdahulu, Nateshwari memberitahu Bernama walaupun hidupnya tidak seperti dahulu selepas pemergian Aaron, namun dua anaknya itu memberi semangat untuk beliau meneruskan kehidupan.
Bapa mendiang Liang Gura merupakan “tuai rumah” atau ketua rumah panjang di sana.
Menurut mesej disiarkan menerusi saluran Iban RTM WaiFm hari ini, Thomas yang lebih dikenali sebagai BJ akan dikebumikan di Nirvana Memorial Park di Sibu pada Sabtu.
Saudara-mara dari Bawan, Bejait, Tuah, Pedai, Ulu Balingian dan Sibu telah dijemput untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di rumah panjang itu bermula esok.
Mendiang Aaron dan Thomas merupakan antara 125 anak kapal yang terjun menyelamatkan diri, apabila kapal MV Dayang Topaz tidak dapat dikawal selepas salah satu daripada kabel sauhnya putus sebelum bertembung dengan platform minyak Baram B ketika cuaca buruk pada Selasa.
— BERNAMA