Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menggelar Presiden Perancis, Emanuel Macron sebagai tidak bertamadun dan primitif kerana menyalahkan Islam dalam kejadian pembunuhan seorang guru yang telah menghina Nabi Muhammad.

Jelas beliau, orang yang sedang marah boleh membunuh tanpa mengira apa pun pegangan agama mereka.

“Sejarah menunjukkan orang Perancis sendiri telah membunuh jutaan orang dan kebanyakannya adalah orang Islam.

“Pada masa itu, orang Islam berhak untuk marah dan membunuh jutaan orang Perancis di atas kekejaman mereka tetapi secara umumnya, Muslim tidak menggunakan undang-undang hutang darah dibayar darah.

“Jika orang Islam tidak melakukan perkara itu (hutang darah dibayar darah) orang Perancis juga tidak sepatutnya.

“Sebaliknya, mereka perlu mengajar rakyat mereka untuk menghormati perasaan orang lain,” katanya dalam satu hantaran di blognya hari ini.

Tegas Dr. Mahathir lagi, perbuatan membunuh bukanlah satu tindakan yang beliau persetujui sebagai orang Islam.

Katanya, meskipun percaya kepada kebebasan bersuara namun ianya tidak termasuk menghina orang lain.

“Anda tidak boleh pergi berjumpa seseorang dan menyumpah dirinya hanya kerana anda percaya kepada kebebasan bersuara,” katanya lagi.

Beliau mengulas mengenai kejadian seorang guru di Perancis yang dibunuh oleh seorang remaja Muslim berusia 18 tahun selepas guru berkenaan menunjukkan karikatur Nabi Muhammad.

Guru tersebut didakwa mahu menunjukkan kebebasan bersuara.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.