PETALING JAYA – Berkelulusan dalam kepakaran perisian teknologi maklumat (IT) tetapi bertindak kurang bijak apabila menggunakan pengetahuan yang ada untuk tujuan tidak betul.
Seramai 34 individu termasuk sembilan perempuan ditahan polis semalam kerana disyaki terlibat dalam jenayah mereka dan menjual perisian aplikasi judi atas talian kepada syarikat perjudian di luar negara.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 38 tahun itu ditahan dalam serbuan polis di sebuah premis perniagaan di Menara Syamphony, Seksyen 13, Petaling Jaya atas kesalahan menjalankan perjudian atas talian.
Katanya, siasatan mendapati kesemua suspek mempunyai kelayakan akademik kelulusan universiti dan kolej tempatan dalam bidang berkaitan perisian komputer.
“Premis berkenaan beroperasi tiga bulan lalu berselindung di bawah sebuah syrikat perisian komputer selain membina apliksi perjudian dalam talian dan menjual kepada syarikat perjudian yang beroperasi di luar negara.
“Syarikat berkenaan selama ini bertanggungjawab membina dan menyelenggara kira-kira 500 aplikasi perjudian dalam talian mengikut kehendak pelanggan pelanggan mereka dan menjualnya kepada syarikat judi di luar negara.
“Waktu operasi premis ialah dari jam 8 pagi hingga 7 malam yang mensasarkan pelanggan dari Thailand,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut Nik Ezanee, setiap pekerja syarikat itu dibayar gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM10,000 bergantung kepada tahap kemahiran dan kepakaran IT mereka.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan mereka ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan dalam proses mendapatkan reman di mahkamah sementara seorang lagi wanita akan ditangkap selepas selesai menjalani tempoh kuarantin Covid-19 dalam masa terdekat.
Pada 2 Oktober lalu kumpulan sama ditangkap polis cawangan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Petaling Jaya yang mana ketika itu seramai 26 lelaki dan 11 wanita ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian.
Namun kata Nik Ezanee, hanya seorang sahaja iaitu pengurus syarikat judi itu ditangkap dan didakwa di mahkamah manakala selebihnya dibebaskan dengan jaminan polis.
Polis kembali memperincikan siasatan sebelum mendapat izin untuk menangkap mereka kali ini di bawah POCA.
“Maka 34 orang suspek termasuk sembilan wanita berkenaan akan disiasat dibawah POCA setelah diluluskan perintah reman oleh Majistret Petaling Jaya hari ini nanti.
“Hasil serbuan sama, kita berjaya merampas 38 komputer riba, 33 monitor, 15 telefon bimbit, empat tablet, satu dekoder kamera litar tertutup dan empat modem yang digunakan untuk mempromosi dan menerima pertaruhan perjudian dalam talian selain membangunkan perisian dan aplikasi itu.
“Setakat ini iaitu sepanjang tahun 2020 sejak Januari lalu, polis PJ berjaya melaksanakan tangkapan terhadap 84 individu di bawah POCA kerana terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian,” ujarnya. – MalaysiaGazette