Emmanuel Macron . foto Reuters

PRESIDEN Perancis, Emmanuel Macron, barangkali terlepas peluang untuk membuktikan dia selayaknya digelar sebagai pemimpin politik dan negarawan unggul untuk seluruh rakyatnya tanpa mengira kaum, keturunan, agama dan latar belakang.

Berbeda dengan tindakan Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand yang sekelip mata berjaya memenangi hati rakyatnya dan perhatian dunia atas sifat manusiawi dan kasih sayangnya yang tinggi untuk masyarakat majmuk bernaung di bawah pentadbirannya.

Insiden terbaharu yang berlaku di Perancis dengan pembunuhan Samuel Paty, seorang guru bagi subjek Kebebasan Bersuara pada 16 Oktober 2020 oleh imigran Rusia berbangsa Chechen, Abdoullakh Abouyedovich Anzorov, pada saya adalah satu lagi ulangan peristiwa yang terangkum dalam beberapa siri reaksonari ekstremis di Perancis.

Bezanya, saya mengharapkan malah mendoakan agar di sana akan ada respons lebih jujur, manusiawi, konstruktif terhadap dakwah yang bertanggungjawab kepada risalah rahmah, jejak ke bumi; yang nantinya bisa dimengerti oleh rakyat Perancis seluruhnya supaya semangat membangun negara itu adalah pada paksi saling hormat menghormati dan saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Apa sahaja kebebasan termasuk Kebebasan Bersuara itu bukan mutlak, kerana yang mutlak itu tidak selalunya berkesudahan baik.

Adapun musuh yang paling penting untuk mereka tumpaskan dalam negara mereka adalah sifat kecurigaan dan kebencian yang ada dalam diri di antara satu sama lain, apa lagi jika ia terkait dengan agama dan politik. Agama dan politik harus berhenti menggunakan kebencian dan kecurigaan sebagai jalan penyelesaian.

Saya mendambakan respon bantahan dan protes yang berwajah Islah, marah dan kesal kita namun dalam balutan rahmah, bukannya menyemarak kebencian dan kecurigaan yang nantinya hanya melebarkan lagi perbedaan.

Pemimpin-pemimpin politik dan agamawan di seluruh dunia perlu sedar bahawa di bahu mereka tergalas tanggungjawab besar dalam melahirkan masyarakat bertamadun tinggi, yang hidup harmoni dengan semangat kerukunan dan manusiawi.

Bantahan dari dalam dan luar Perancis yang sewajarnya mendorong dan menggalakkan kepada proses percambahan fikir, diskusi, seminar dan wacana yang jauh lebih segar, berbanding boikot dan kutukan-kutukan kebencian yang berulang, yang hakikatnya menatijahkan permasalahan pokok menjadi lebih parah dan seolah tiada nokhtah.

Tindakan Macron yang mengumumkan bahawa kerajaan Perancis akan membentangkan rang undang-undang pada November depan bagi memperkukuh satu undang-undang yang digubal pada tahun 1905, yang mengasingkan gereja (agama kristian) dengan pentadbiran di Perancis; yang bermatlamat mengatasi masalah radikalisasi Islam (agama) yang semakin berkembang di Perancis dan sekaligus memperbaiki kemampuan rakyat negara itu untuk hidup bersama; secara umum andai gagal dimengerti latar belakangnya oleh kita masyarakat Islam di luar Perancis, akan hanya menyusulinya dengan pelbagai aksi dan kenyataan yang mungkin kurang membantu, malah menimbulkan ancaman-ancaman baharu yang menyulitkan.

Adalah disarankan agar kerajaan Perancis dapat memastikan wakil daripada masyarakat Islam Perancis dilibatkan dalam perencanaan dasar-dasar kerajaan yang bersangkut paut langsung dengan mereka. Jika ruang tersebut sudah ada, saya percaya ia perlu diperluaskan lagi secara berkesan. Ini penting bagi memastikan hasrat kerajaan Perancis untuk melihat “kemampuan rakyatnya hidup bersama” itu tercapai.

Sebarang dasar kerajaan untuk rakyat berbilang harus difahami. Ucapan-ucapan sensitif seperti yang telah dilontarkan Emannuel dalam satu acara, “Islam adalah agama yang berada dalam krisis di seluruh dunia hari ini, kita bukan sahaja melihat ini di negara kita,” adalah jelas satu ucapan provokasi yang sangat tidak wajar dituturkan oleh seorang Presiden negara. Ia dengan sendirinya satu reaksi berulang yang sepatutnya boleh dielakkan, kerana mesejnya sarat dengan kecurigaan, salahfaham dan kebencian. Ia sama sekali tidak membantu Emannuel dan Perancis untuk mencapai hasrat membina “kemampuan rakyat negara itu untuk hidup bersama”, sepertimana yang beliau harapkan.

Kita tidak mungkin boleh mengubah dan memperbaiki sesuatu itu dengan mengulangi cara dan pendekatan yang sama. Kebencian tidak akan mengajar manusia menjadi baik, malah upaya merubah seseorang manusia yang baik menjadi jahat. “To overcome evil with good is good, to resist evil by evil is evil.”

Dalam tempoh 2010-2020, dilaporkan kurang lebih 172 kejadian keganasan terkait Islamophobia berlaku di Perancis yang melibatkan kurang lebih 283 jumlah kematian dan 856 jumlah kecederaan.

Tahun 2012 mencatat KEJADIAN yang paling tinggi iaitu 65 kejadian dengan masing-masing 8 kematian dalam 8 kecederaan. Tahun 2015 pula telah tercatat sebagai rekod kematian tertinggi  iaitu 161 kematian dengan 36 kejadian dan 300 kecederaan. Manakala tahun 2016 merekodkan statistik kecederaan tertinggi iaitu 451 kecederaan dengan 12 kejadian keganasan dan 89 kematian.

Ternyata ia bukan satu angka yang sedikit. Semua aktiviti keganasan yang telah berlaku di Perancis ini telah mengeruhkan lagi imej agama Islam. Daripada sini, kita mungkin secara umumnya dapat melihat betapa kebimbangan dan ketakutan rakyat Perancis terhadap ancaman ekstrimisme agama itu adalah sesuatu yang real serta punya asas yang kukuh.

Islamophobia bukan baru bermula 10-20 tahun yang lepas, tetapi sudah berlanjutan sekian lama dalam sejarah Peranchis yang panjang. Beberapa Sarjana Islam Perancis, antaranya Syeikh Dr Tariq Ramadan Al Buti menyebut bahawa untuk kita memahami isu Islamophobia di Perancis ini, kita perlu kembali ke zaman-zaman sebelumnya iaitu daripada zaman Raja Monarki, Zaman Penjajahan dan seterus era Perancis Moden.

Penting juga untuk kita menekuni apa yang telah dinyatakan oleh salah seorang Imam Besar Masjid Drancy, di Paris iaitu Imam Hassan Chalghoumi, bahawa muslim telah gagal dalam melontarkan suara bagi mempromosi kebaikan agama kita sendiri. Sehinggakan gambaran ektremisme agama itu seolah lebih mewajahi informasi media dalam masyarakat.

Kita perlu belajar dan bersungguh dalam mempertingkatkan skill dakwah dan islah ummat, selari dengan keyakinan kita bahawa Islam adalah agama selamat dan penyelamat yang sesuai sepanjang zaman. Islam dan keganasan adalah satu gambaran dan fenomena fikir yang mesti dihentikan, dan ia wajar bermula daripada mengurus bagaimana umat perlu bertindak terhadap cabaran, provokasi dan ancaman-ancaman yang wujud dalam persekitaran hidup mereka.

Perancis hakikatnya mempunyai peratusan muslim paling ramai di dunia Barat khususnya Eropah, iaitu seramai 10 peratus. Selain penduduk yang datang berhijrah dari Afrika Utara, kebanyakan mereka juga adalah daripada kalangan bumiputera Perancis yang telah memeluk Islam. Sepertimana di tempat-tempat lain, di sana akan selalu ada 2 kelompok utama iaitu kelompok majoriti beraliran sederhana, dan kelompok minoriti yang berfahaman ekstrimis. Kelompok ekstrimis ini disebut juga oleh Para Imam Perancis sebagai Jemaah Takfiri atau Salafi Jihadist. Bagi kita yang secara sedar melalui pengalaman ini dalam negara kita sendiri, sewajarnya kita upaya lebih mengerti. Masakan AlLah menciptakan pengalaman itu kepada kita untuk suatu yang sia-sia.

Di Perancis, kita ada organisasi rasmi umat Islam iaitu Muslims of France (Musulmans de France), Majlis Ulama dan Imam-Imam Perancis. Imam-Imam Perancis memainkan peranan yang agak terkehadapan dalam mewakili suara umat Islam kepada kerajaan. Mereka lebih memahami akan urusan negara mereka sendiri berbanding kita umat Islam yang berada di luar Perancis. Sebarang solidariti kita dari luar Perancis terhadap saudara-saudara Islam kita di sana, semoga seiring membantu usaha mereka, bukan sebaliknya menimbulkan kesan lain termasuk kesukaran membanteras fikrah-fikrah takfiri yang makin berkembang di seluruh dunia, mencacatkan imej baik Islam. Islam dan ummat Islam perlu ditonjolkan upaya menjadi penyelesai masalah, bukannya sebaliknya dikenali sebagai pembikin masalah.

Secara umum, hak umat Islam yang merupakan kumpulan minoriti di Perancis adalah terjamin dan tidak boleh didiskriminasi oleh undang-undang Perancis. Sistem sekularisme yang diamalkan di Perancis telah memberi ruang kepada hak tersebut, sekalipun Muslim merupakan kelompok minoriti. Ruang positif ini perlu dimanfaatkan dengan bijaksana, apatah lagi misi besar Islam itu sendiri adalah menjadi rahmat pada sekalian alam.

Apabila kita hendak membuktikan Muhammad ﷺ sememangnya Insan Terpuji, tindak balas umat pada masa kita marah dan mahu mempertahankan baginda ﷺ pun wajar kita zahirkan dengan cara Terpuji. Semoga AlLah membimbing kita ke jalan-jalan kebaikan.

Non-Muslim don’t read Quran. They don’t read the Hadith. They Read You. So, the onus is on you to be a good Ambassador of Islam.

Orang bukan Islam tidak membaca al-Quran. Mereka tidak membaca Hadis. Mereka Membaca Anda. Jadi, tanggungjawab anda adalah untuk menjadi Duta Besar Islam yang baik.

AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ahli Dewan Negara
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast