Bekas Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak. foto ISKANDAR HAMIDI, 10 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Biarpun sudah menjadi seteru politik, namun Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat negara ini supaya membaca kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad secara menyeluruh dan dalam konteks yang penuh.

Najib Razak dalam posting di Facebooknya hari ini berkata, kenyataan yang dibuat beliau terhadap bekas Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) itu bukan mempertahankan Mahathir.

“Perlu adil kepada Tun Mahathir juga. Tapi Tun Mahathir juga ada membuat beberapa point dalam kenyataan dia yang kurang berfaedah untuk Agama dan Negara kita.

“Dia tuduh negara-negara barat tak beragama atau pura-pura beragama.

“Dia pertikaikan dan memperlekehkan hak-hak wanita termasuk menggunakan ungkapan “most secret place” serta hak wanita untuk mengundi,” katanya di Facebook.

Najib dipercayai merujuk kepada Mahathir yang membuat ciapan di Twitter mengatakan “Muslim ada hak untuk marah dan membunuh berjuta rakyat Perancis atas penyembelihan di masa lalu.”

Ciapan Dr. Mahathir itu mengenai kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron susulan pembunuhan seorang guru di Perancis, yang antara lain mengisytiharkan “perang” terhadap apa yang disifatkannya sebagai “pemisah Muslim” dan menyifatkan Islam sebagai agama “dalam krisis”.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Najib berpendapat bahawa kenyataan Dr. Mahathir kurang berfaedah untuk agama Islam dan Malaysia.

Beliau memberi alasan Malaysia secara jelas menghormati hak-hak wanita dan akan sentiasa cuba menjaga hubungan yang baik antara negara dalam dunia.

“Bila kita rasa pemimpin-pemimpin negara lain salah, kita tegur dan kecam dengan cara baik.

“Fokus pada individu. Bukan serang seluruh negara dan bangsa mereka.

“Kita tak patut perlekehkan negara-negara lain demi mencari gaduh,” katanya.

Twitter semalam memadam satu ciapan bekas Pengerusi PH itu berhubung kenyataan Macron.

Laman sosial itu tidak lama kemudian meletakkan tanda pada ciapan tersebut atas dasar “mengangkat keganasan”.

Malah sejak semalam, Twitter mengklasifikasikan ciapan Dr. Mahathir sebagai “Ciapan mencabuli peraturan Twitter”.

Dr. Mahathir sebelum itu menerusi www.chedet.cc berkata Macron tidak menampakkan beliau seorang sosok yang bertamadun.

Malah, Dr. Mahathir berkata, pemerintah tertinggi Perancis itu bersikap primitif kerana menuduh orang Islam terlibat dalam pembunuhan guru yang menghina Islam, malah menegaskan tindakan membunuh bukan ajaran Islam. – MalaysiaGazette