TOKYO – Mitsubishi Heavy Industries (MHI) dipilih untuk menerajui pembangunan jet pejuang stealth baharu yang Jepun sasarkan beroperasi pada pertengahan 2030 bagi menyaingi pesawat terkini China.
“Kami menganugerahkan kontrak utama kepada Mitsubishi Heavy,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan seperti dipetik Reuters.
Projek jet pejuang yang dijangka menelan belanja kira-kira $40 bilion itu dilaksanakan setelah syarikat tersebut menarik diri daripada rancangan pembinaan pesawat penumpang serantau, SpaceJet, ketika penularan wabak koronavirus yang memberi kesan terhadap pengembaraan udara sehingga menyebabkan kewangan syarikat penerbangan terjejas untuk membeli kapal terbang baharu.
Keputusan tersebut telah dijangkakan kerana MHI merupakan satu-satunya pembuat jet pejuang Jepun, dan tiada syarikat lain membida kontrak itu. Pembekal dan rakan kongsi lain akan dikenalpasti pada akhir tahun ini.
Firma Amerika Syarikat (AS) telah menyatakan minat untuk menyertai projek itu, membabitkan pembuat pesawat pejuang stealth, F-35, Lockheed Martin Corp., pembuat jet pejuang F-18 Super Hornet, Boeing Co. dan Northrop Grumman Corp.
Syarikat Britain, BAE Systems Plc. dan pembuat enjin pesawat Rolls Royce Holdings Plc. turut berminat.
Dalam permohonan bajet yang bermula April lalu, Kementerian Pertahanan Jepun memohon peruntukan sebanyak AS$730 juta untuk membaiayai penyelidikan dan pembangunan cadangan pembuatan jet pejuang yang dirujuk sebagai F-X atau F-3.
Angkatan tentera udara Jepun mempunyai kira-kira 200 jet pejuang F-15 buatan Boeing dan sedang menggantikan skuadron pesawat pejuang F-4 yang usang dengan F-35.,
Pesawat baharu itu akan menggantikan jet pejuang F-2, yang seangkatan dengan pesawat pejuang F-16 Fighting Falcon yang dibangunkan secara bersama antara MHI dan Lockheed Martin lebih dua dekad lalu. – MalaysiaGazette