Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pawagam-pawagam di Malaysia akan menggantung operasi mereka bermula November ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBB) di beberapa negeri selain kekurangan filem-filem baharu.

Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan untuk menggantung sementara operasi semua panggung wayang di negara ini dibuat secara kolektif.

“Bermula November 2020, semua panggung wayang akan menangguhkan penayangan filem dan/atau menggantung operasi mereka.

“Mereka bagaimanapun akan terus memantau situasi semasa dan akan bertindak mengikut perubahan pasaran sekiranya keadaan semakin pulih,” katanya.

Menurut MAFE, industri wayang di negara ini terjejas teruk akibat pandemik dan terpaksa menghadapi kerugian pendapatan yang teruk kerana kehadiran penonton ke pawagam merundum sehingga 90 peratus berbanding tahun lepas.

Pada masa yang sama, pengendali pawagam pula terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan pelanggan ketika menonton wayang.

“Walaupun keputusan ini tidk mudah namun ini adalah cara kami bertindak di dalam menghadapi cabaran yang semakin berat dan sebagai sebuah industri, kami percaya ini merupakan langkah perlu di dalam memastikan kewujudan pawagam di Malaysia dapat diteruskan pada jangka masa panjang.

“Ini bagi membolehkan kami terus memainkan peranan dalam menyumbang kepada pembangunan sosial, ekonomi dan kebudayaan negara pada jangka masa panjang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast