KUALA LUMPUR – Seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan lima kenderaan darat dirampas dalam Ops Benteng yang dilakukan semalam.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 293 sekatan jalan raya (SJR) Ops Benteng juga dilakukan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, 219 SJR dilakukan PDRM, ATM (65) dan AKSEM (95).
“Orang ramai diminta untuk menghubungi hotline National Task Force di talian 011 6251 1223 untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan PATI dan jenayah rentas sempadan,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kementerian Pertahanan, hari ini.
Ops Benteng diselaras bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).
Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan, sebanyak 22 sanitasi awam dilakukan oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), membabitkan 19 zon di enam negeri semalam.
Katanya, operasi itu masing-masing di 11 Zon Merah, tujuh Zon Kuning dan satu Zon Hijau.
“Ia membabitkan 10 operasi di Sabah, Melaka (empat), Pulau Pinang (tiga), Terengganu (tiga), Wilayah Persekutuan (satu) dan Labuan (satu).
“Operasi itu dilakukan 119 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain 176 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 38 dari agensi lain.
“Sebanyak 14 jentera JBPM turut digunakan dalam operasi berkenaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette