KUALA LUMPUR – Pasukan COVID-19 Hospital Sungai Buloh, Selangor mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020 baru-baru ini berikutan usaha mereka memerangi pandemik itu.
Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit Dr C. Suresh Kumar dan Ketua Jabatan Anestesia dan Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh Dr Shaiful Azman Zakaria, kedua-duanya menerima anugerah itu sebagai pejuang COVID-19.
Berita gembira itu dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi media sosialnya semalam.
Menurut laman sesawang Anugerah Kesihatan Global, anugerah Asia Pasifik serantau itu bertujuan untuk mengiktiraf syarikat dalam pelbagai pasaran serantau yang mengekalkan piawaian yang tinggi secara konsisten dalam menyampaikan penjagaan berkualiti untuk menggembirakan pelanggan mereka di setiap peringkat dan dalam setiap interaksi.
Hospital Sungai Buloh ditetapkan sebagai hospital utama COVID-19 Malaysia sejak pandemik itu melanda negara pada Mac 2020.
Dr Sureh Kumar baru-baru ini berada di Sabah bagi membantu membendung penularan pandemik COVID-19 di negeri itu.
— BERNAMA