PUTRAJAYA – Pimpinan utama barisan pembangkang berpendapat sukar untuk mereka  membuat keputusan menyokong atau sebaliknya pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.

Sebaliknya ketika menjawab pertanyaan pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mereka berkata, pembangkang masih belum dapat menyatakan pendirian. 

Kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini adalah rundingan pertama antara pembangkang dan kerajaan jadi terlalu awal sebenarnya untuk membuat sebarang keputusan.

“Ini adalah hari pertama, rundingan pertama. Menteri sendiri sudah menyatakan kesanggupan untuk mengadakan lagi pertemuan dengan kita mengikut kesesuaian masa.

“Ini adalah satu proses, untuk kita kami sudah sampaikan pandangan kami, ini masih lagi satu permulaan. Baru mulakan langkah, jadi soalan sokongan ini agak ‘premature’ untuk kami pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat dengan Tengku Zafrul hari ini bersama-sama pemimpin lain seperti bekas Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohammad Sabu di sini hari ini.

Manakala Guan Eng pula menolak persoalan sebarang perbincangan politik sebaliknya hanya berkisar kepada Belanjawan 2021 yang bakal di bentang kepada rakyat.

“Isu politik kita akan bercakap dengan pimpinan lain bukan sini,” ujarnya dengan senyuman.

Dalam pada itu, Pakatan Harapan (PH) juga telah mengemukakan enam cadangan utama untuk Belanjawan Perpaduan 2021 seperti berikut;

1. Meningkatkan peruntukan Kementerian Kesihatan untuk Covid-19 dan penyakit tidak berjangkit (NCD)

• Pemerolehan & penggunaan vaksin yang berpotensi kepada kelompok masyarakat paling berisiko

• Memberikan bayaran yang adil kepada barisan hadapan dan menyerap pegawai kontrak sedia ada kepada jawatan tetap

• Meningkatkan bilangan pekerja kesihatan sementara termasuk jururawat, kakitangan pembersihan dan pengesan kontak rapat

• Peruntukan khas untuk menangani krisis Covid-19 di Sabah

2. Memperkasa perlindungan sosial, jaringan keselamatan dan pembayaran kebajikan kepada golongan berisiko dan penganggur dengan meningkatkan bantuan kebajikan kepada RM1,000 sebagaimana dijanjikan Perdana Menteri sehingga akhir krisis Covid

• Meningkatkan pendaftaran E-Kasih dan Skim Insurans Pekerjaan (EIS)

• Meningkatkan dana bagi mengatasi masalah penderaan domestik, isu kesihatan mental,penderaan warga emas dan kekurangan nutrisi kanak-kanak

3. Melanjutkan moratorium sehingga 31 Mac 2021

4. Subsidi upah diteruskan sehingga 31 Mac 2021 dan mewujudkan 600,000 pekerjaan seperti program Malaysia@Kerja yang menyediakan insentif untuk tempoh 2 tahun kepada makjikan dan pekerja berharga RM13 bilion

• Fokus untuk mewujudkan pekerjaan hijau dan infrastruktur hijau (“Build Back Better”)

• Pendekatan ganjaran dan hukuman untuk sektor yang mempunyai pertumbhan yang baik, seperti sektor sarung tangan dan alat perubatan untuk meningkatkan bilangan pekerja tempatan

5. Peningkatan perbelanjaan pendidikan untuk memastikan kelangsungan pendidikan

• Menambah baik / meningkatkan sumber untuk kelas dalam talian

• Sistem simpanan kurikulum untuk pelajar belajar dari rumah

• Meningkatkan bilangan guru sokongan dan bilik darjah untuk memenuhi keperluan penjarakan sosial di sekolah

6. Perbelanjaan pembangunan untuk dua projek utama, iaitu, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan menaik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang. -MalaysiaGazette