SETIAP orang harus menerima hakikat bahawa konsep hak asasi manusia dan kebebasan tidak wujud dalam kehidupan seharian kita semua secara mutlak. Sekiranya konsep hak asasi manusia dan kebebasan ini diberikan kepada kita semua secara mutlak, tiada ada beza antara kita semua dengan haiwan liar yang tinggal didalam hutan rimba. Setiap manusia diberikan hak dan kebebasan dan ini termasuklah kebebasan untuk bersuara dan meluahkan pendapat. Namun, hak dan kebebasan untuk bersuara dan meluahkan pendapat ini juga termaktub kepada had dan batasannya. Tidak semua benda harus atau boleh diluahkan dengan sesuka hati. Adalah penting untuk setiap orang mengunakan akal mereka untuk berfikir sebelum mereka ingin bersuara atau meluahkan pendapat mereka supaya ia tidak menguris hati dan perasaan orang sekeliling serta mengundang tindak balas yang tidak diingini. Kepentingan untuk menetapkan had dan batasan terhadap hak dan kebebasan ini menjadi lebih penting sekiranya kita tinggal didalam sebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai budaya dan agama dimana konflik dan salah faham mudah timbul. Baru-baru ini, kita telah didedahkan dengan isu penerbitanmmkarikatur yang memaparkan Nabi Muhammad SAW di Perancis.
Isu penerbitan karikatur ini telah membangkit kemarahan orang ramai khususnya dikalangan umat Islam yang berada di Perancis dan diserata dunia. Penerbitan karikatur Nabi Muhammad SAW ini bukan satu isu yang baru berlaku. Ia telah berlaku buat sekian lama dalam kalangan negara-negara Barat. Persoalan harus dilontarkan kepada masyarakat Barat termasuk di Perancis, kenapa mereka berterusan ingin menerbitkan atau mengunakan karikatur berkenaan walaupun mereka ketahui dengan jelas ia boleh menguris hati dan perasaan umat Islam diserata dunia? Sudah pasti jawapan yang diberikan oleh mereka adalah penerbitan dan pengunaan karikatur berkenaan adalah sebahagian daripada proses kebebasan bersuara dan meluahkan
pendapat. Masyarakat Barat harus berhenti daripada menjadi hipokrit dan mengunakan kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat ini sebagai perisai untuk mereka melakukan apa sahaja yang mereka rasakan betul.
Sekiranya masyarakat Barat benar-benar menghargai kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat, mereka harus juga menghormati dan membenarkan semua pihak untuk bersuara dan meluahkan pendapat yang bercanggah dengan kepentingan kaum Yahudi dan Israel. Kenapa masyarakat Barat tidak benarkan orang ramai untuk bercakap dan meluahkan pendapat mengenai apa-apa sahaja yang bercanggah dengan kepentingan Yahudi dan Israel seperti isu kekejaman dan penindasan yang berlaku terhadap masyarakat Palestin oleh Israel dan puak pelampau Yahudi serta membangkitkan atau mempersoalkan isu pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi atau lebih dikenali sebagai isu holokous yang berlaku semasa Perang Dunia Kedua (1939-1945) yang lalu? Malah terdapat beberapa negara Eropah yang mewujudkan undang-undang khusus bagi melarang orang ramai untuk membicarakan isu holokaus ini dalam negara kita.
Mana- mana pihak yang berani membangkitkan isu holokaus ini akan ditangkap, didakwa dan digelar sebagai anti-semitik. Dimanakah kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat yang dilaung- laungkan oleh masyarakat Barat didalam perkara ini? Mungkin masyarakat Barat perlu belajar kembali maksud
kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat. Setiap manusia diberikan kebebasan dan ini termasuklah kebebasan untuk bersuara dan meluahkan pendapat. Kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat adalah kebebasan untuk bercakap serta meluahkan sesuatu. Konsep kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat ini tidak hanya tertumpu pada kebebasan untuk berkata-kata, malah ia juga meliputi kebebasan untuk mencari, menerima dan menyebarkan maklumat atau idea. Kebebasan ini boleh disebarkan melalui apa-apa medium atau kemudahan seperti surat khabar ataupun internet. Konsep kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat ini selalu dikaitkan dengan kebebasan untuk berfikir dan menilai sesuatu perkara atau isu.
Hak kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat ini telah diiktiraf sebagai salah satu bentuk hak asasi manusia di dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR). Namun Perkara 19 ini kemudiannya telah dipinda didalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-hak Sivil dan Politikal (ICCPR) 1966 dengan meletakkan had atau batasan terhadap terhadap kebebasan untuk bersuara dan meluahkan pendapat ini dimana ia menyatakan bahawa kebebasan untuk bersuara dan meluahkan pendapat ini perlu diiringi dengan beban tanggungjawab dan ianya termaktub kepada had dan batasan terhadap keselamatan negara, keamanan awam, serta moral. Ini bermakna, kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat secara mutlak memang tidak boleh wujud di mana-mana tempat dalam dunia ini. Oleh yang demikian, adalah penting supaya masyarakat Barat dapat melihat kembali kepada konsep had dan batasan yang telah ditetapkan ini serta tidak melakukan sebarang perkara yang boleh menjejaskan keselamatan negara mereka sendiri, menganggu keamanan awam serta menjejaskan hubungan antara masyarakat yang terdiri daripada pelbagai budaya dan agama. Masyarakat Barat perlu belajar menghormati sensitiviti budaya dan agama orang lain sekiranya mereka ingin dihormati oleh semua pihak serta hidup aman.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Kasihan Perancis ada presiden yg kolot