KUALA LUMPUR – BDB Land Sdn Bhd (BDB Land), anak syarikat milik penuh Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Lagenda Properties Berhad (LPB) mengenai cadangan pembangunan bersama perbandaran mampu milik, Darulaman Putra di Sungai Petani, Kedah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim berkata, MoU itu untuk membangunkan rumah mampu milik di kawasan seluas 148 ekar dan memperluaskan lagi jaringan industri dan perniagaan serta menyokong antara satu sama lain dalam projek yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
BDB Land dan LPB turut akan meneroka peluang membangunkan kawasan seluas 82 ekar di kawasan yang sama, dengan menumpukan kepada pembangunan komersial, di samping rumah mampu milik dan pelan ini dijangka memberi nilai tambah kepada perbandaran mampu milik tersebut.
Menurutnya, nilai pembangunan kasar (GDV) ini dianggarkan bernilai RM550 juta.
“LPB merupakan syarikat pemaju hartanah yang berpengalaman dalam membangunkan perbandaran mampu milik dan ianya terbukti dengan kejayaan pembangunan Bandar Baru Setia Awan Perdana di Sitiawan serta Lagenda Teluk Intan di Perak.
“Darulaman Putra merupakan perbandaran pertama seumpamanya yang bakal dibangunkan oleh BDB Land bagi memenuhi sasaran pasaran hartanah pada harga jualan RM350,000 dan ke bawah.
“Sudah pasti dengan pengalaman luas yang dimiliki oleh LPB dalam membangunkan perbandaran mampu milik dapat dimanfaatkan untuk pembangunan kediaman khusus untuk golongan B40 dan juga M40 di Kedah,” katanya dalam majlis menandatangani MoU antara BDB dan LPB, baru-baru ini.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Pengarah BDB Land, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli dan Pengarah Urusan LPB, Datuk Doh Jee Ming, disaksikan oleh Faris Najhan, Ketua Anak Syarikat, Divisyen Hartanah, Zawawi Wahab serta Pengurus Pelaburan dan Kewangan Korporat LPB, Jasrinderjit Singh Dhillon.
Pembangunan Perbandaran Darulaman Putra akan dibangunkan dalam tempoh lima tahun merangkumi unit kediaman mampu milik, bangunan komersial serta dilengkapi dengan pusat komuniti.
Perbandaran tersebut terletak di Sungai Petani serta berhadapan dengan Lebuhraya Utara Selatan menjadikan ia lokasi yang strategik dan berpotensi tinggi untuk berkembang pesat pada masa akan datang. – MalaysiaGazette