KUALA LUMPUR – Penyelidikan oleh CGS-CIMB Securities Sdn Bhd mengandaikan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak akan meneruskan penamatan perjanjian pajakan tanah (LLA) dengan FGV Holdings Bhd (FGV) sekiranya jangkaan pampasan oleh FGV berjumlah RM3.5 bilion sehingga RM4 bilion.

“Justeru, mungkin lebih murah untuk menjadikan FGV sebagai syarikat persendirian Felda berasaskan permodalan pasaran semasa.

“Kos bagi Felda untuk mengambil alih baki pegangan yang ia tidak miliki dalam FGV adalah RM2.6 billon berdasarkan kepada pemodalan pasaran terakhir FGV,” menurut firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

Pada 28 Okt, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Kabinet meluluskan cadangan Felda untuk menamatkan LLA dengan FGV Holdings Bhd.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Felda kepada FGV, yang mana ia memegang pegangan berjumlah 33.66 peratus susulan penamatan LLA itu.

FGV berkata, jumlah pampasan yang dijangka perlu dibayar kepadanya adalah RM3.5 bilion hingga RM4.3 bilion berdasarkan penilaian dalaman kepada prestasi kewangannya bagi 2020 dan 2021 serta pelbagai faktor lain.

CGS-CIMB berkata, jumlah pampasan akan tinggi bergantung kepada tahun kewangan yang digunakan bagi pengiraannya.

Katanya, jika ia berdasarkan kewangan FGV pada 2019, pampasan dijangka rendah atau minimum, manakala jika ia berasaskan kepada kewangan 2020 atau 2021, ia dijangka lebih tinggi, namun, amaun akhir akan bergantung kepada prestasi estet FGV dan harga minyak sawit mentah.

“Penentu utama sama ada potensi penamatan LLA ini adalah positif atau negatif kepada FGV adalah bergantung kepada jumlah pampasan yag akan dipersetujui.

“Kami berpendapat jumlah yang dijangkakan oleh FGV itu adalah optimistik, mengambil kira trend sejarah pembayaran LLA dan pemahaman semasa kami mengenai formula pampasan,” katanya.

CGS-CIMB berkata, ia mengandaikan estet di bawah LLA bernilai RM2.55 bilion atau 70 sen sesaham.

“Bagi tempoh jangka sederhana dan panjang, kami melihat penamatan LLA itu sebagai negatif kerana ia bermakna FGV tidak dapat menuai hasil daripada penanaman semulanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata firma itu.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “neutral” ke atas FGV dengan harga sasaran RM1.21 sesaham. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast