KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru mulai jam 12.01 tengah malam ini.
Pelaksanaan PKPD itu berikutan sebanyak 46 kes didapati positif daripada 1,515 saringan Covid-19 yang dilakukan.
Sehubungan itu, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyekat penularan Covid-19 di lokaliti itu, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD selama 14 hari sehingga 16 November ini.
Kata beliau, PKPD itu akan melibatkan seramai 1,559 individu terdiri daripada pelatih ILKKM, kakitangan serta ahli keluarga dan pekerja sokongan.
“Dengan pelaksanaan perintah ini, semua yang terlibat dikehendaki mematuhi SOP ditetapkan seperti pergerakan keluar masuk ke ILKKM tidak dibenarkan, bekalan makanan kepada pelatih ILKKM akan dibekalkan oleh kerajaan negeri atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Sepanjang PKPD itu, KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua warga ILKKM dan meneruskan pengesanan kontak rapat,” katanya pada sidang media khas mengenai Covid-19, hari ini.
Beliau turut mengumumkan lanjutan tempoh PKPD bagi Penjara Kepayan, dan Kuarters Penjara Taman Mat Salleh di Kampung Matambai berikutan kes positif yang tinggi.
Menurutnya, sehingga semalam, jumlah kes positif Covid-19 melibatkan lokaliti tersebut sebanyak 1,671 kes, manakala bilangan mereka yang disaring seramai 3,509 orang termasuk banduan, pegawai, kakitangan dan ahli keluarga mereka.
“Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Kepayan dan Kuarters Penjara Taman Mat Salleh selama 14 hari lagi bermula tengah malam ini sehingga 16 November ini,” katanya.
Sementara itu, kata Ismail Sabri, dua kampung di Labuan, Sabah iaitu Kampung Saguking Laut dan Kampung Sebor Laut yang tempoh PKPD tamat tengah malam ini, tidak disambung lagi selepas kes positif menunjukkan penurunan.
Sebelum ini, pelaksanaan PKPD di dua kampung itu bermula dari 21 Oktober sehingga 3 November, tetapi saringan oleh KKM mendapati kes postif Covid-19 di kawasan itu telah menurun dan terkawal.
“Oleh itu, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD Kampung Saguking Laut dan Kampung Sebor Laut, Labuan pada tengah malam ini sepertimana yang telah dijadualkan.
“Bagaimanapun, kedua-dua lokaliti ini masih tertakluk di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Wilayah Persekutuan Labuan yang sedang berkuatkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette