Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Bantuan seperti wang tunai, subsidi atau pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperlukan bagi pelan jangka pendek.

“Namun kita wajib memikirkan langkah jangka panjang sekiranya pandemik Covid-19 berterusan,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Bagi tujuan itu, kepimpinan luar biasa diperlukan dalam saat yang luar biasa ini, katanya.

Terdahulu Ahmad Shabery berkata, banyak pusat beli-belah kini lengang dan peniaga terpaksa terus membuka kedai walaupun tiada pelanggan.

“Sewa harus dibayar dan pekerja perlu digaji. Menutup perniagaan di saat ini juga ada kos tertentu yang mesti ditanggung,” ujarnya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Lagi pun, menurutnya, tidak banyak pasar raya sedia merundingi terma baru sewa, kerana mereka juga kena tanggung kos lain seperti elektrik, air, kebersihan dan keselamatan.

“Selain pinjaman bank yang mesti diservis. Kegawatan akan berjangkit kesemua sektor. Keperitan ekonomi akan memakan diri semua pihak,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
.