Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini bakal menyediakan pelbagai langkah untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi dan memelihara rakyat manakala pelan pemulihan ekonomi jangka panjang sedang dimuktamadkan oleh Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan yang terbaik untuk melindungi dan menjamin kelangsungan hidup rakyat.

“Insyaallah dengan langkah-langkah yang telah diambil dan bakal diambil melalui Bajet 2021, RMK-12 dan dasar-dasar yang berkaitan, ekonomi negara akan kembali pulih.

“Ekonomi kita akan berdaya saing dan mampan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan terbela.

“Marilah kita semua tanpa mengira parti bersama-sama untuk memulihkan ekonomi negara dan membela kepetingan rakyat,” katanya ketika menjawab soalan lisan semasa sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Datuk Fasiah Mohd. Fakeh (Bersatu- Sabak Bernam) meminta Perdana Menteri menyatakan impak ekonomi daripada pandemik Covid-19 serta dasar dan mekanisme yang dilakukan kerajaan untuk memacu ekonomi ke arah berdaya tahan dan mapan.

Menurut Mustapa, sejak EAC ditubuhkan, sebanyak 24 mesyuarat dan 48 kertas telah dibentangkan antaranya langkah pemulihan sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik seperti pelancongan, pembinaan, peruncitan, dan perusahaan kecil dan sederhana.

Selain itu, EAC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri itu turut mencari jalan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan mengurangkan pengangguran.

Mustapa berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia telah menguncup sebanyak 8.3 peratus pada separuh pertama 2020 berbanding pertumbuhan empat peratus tempoh sama 2019 disebabkan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun katanya, kesan negatif itu adalah bersifat sementara dan ekonomi Malaysia dijangka pulih pada 2021.

Ini bersandarkan kepada beberapa petunjuk ekonomi pada bulan Ogos dan September yang mana eksport Malaysia pada September 2020 berkembang sebanyak 13.6 peratus manakala nilai jualan perdagangan borong dan runcit pula meningkat sebanyak 2.5 peratus pada Ogos 2020.

Jualan kereta penumpang pula meningkat sebanyak lapan peratus pada bulan September 2020.

Pasaran buruh menurut Mustapa kekal mencatatkan kadar pengangguran pada 4.7 peratus pada bulan Julai dan Ogos 2020.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast