KUALA LUMPUR – Bekas pemain kebangsaan, Junior Eldstal kembali mewarnai aksi Liga Malaysia (Liga-M) setelah dilaporkan bakal meninggalkan pasukan kelab bola sepak Metropolitan Police FC yang berpangkalan di England.
Pengurus pasukan itu, Gavin Macpherson turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada pemain tengah berdarah kacukan Malaysia-Sweden yang telah memberikan sumbangan besar sepanjang tempoh tiga tahun beraksi bersama pasukannya.
“Ini adalah peluang terbaik dan dengan pengalaman yang dimiliki, ia adalah terbaik untuk Junior. Saya mahu merakamkan ucapan terima kasih kepada Junior atas usahanya selama tiga musim bersama pasukan kami. Dia adalah pemain yang popular dan penting dalam pasukan. Saya teruja untuk melihat perkembangannya di luar negara,” katanya dalam kenyatan di laman web kelab www.pitchero.com/clubs/metropolitanpolicefc.
Pemain berusia 29 tahun itu memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab memenangi perlawanan play-off Liga Selatan dua tahun lepas, dan sejak itu menjadi watak penting dalam pasukannya.
Sementara itu, Junior dalam ciapan terkini di akaun Twitter mengucapkan terima kasih kepada kelab Metropolitan Police FC kerana memberi peluang untuk menggilap permainannya ke tahap yang lebih baik.
“Terima kasih @MetPoliceFC kerana membuatkan saya jatuh cinta sekali lagi dengan bola sepak. Kumpulan yang hebat akan terus melakukan perkara yang hebat,” kata pemenang Anugerah Pemain Harapan Terbaik 2013 itu.
Bekas pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan itu membuat penampilan sulung dalam saingan Liga-M bersama pasukan Sarawak pada 2013-2014 sebelum menyertai pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menyaksikan beliau berjaya merangkul juara Liga Super sebanyak tiga kali (2015, 2016, 2017), Piala FA (2016), Piala Malaysia (2017) dan Piala AFC pada 2015. – Bernama