Gambar hiasan

SIKAP – samaada menampilkan daripada sisi negatif atau positif bukan milik biologi sesuatu kaum. Ia boleh berurat akar, dipupuk, disemai oleh dorongan persekitaran dan iklim yang pelbagai. Ia boleh ditemui dalam masyarakat berpaksi nilai (value bond) atau bebas nilai, (value free), timur barat, utara selatan. Dengan memahami premis ini diharap kita dapat dianggap bercakap tentang sesuatu sikap kaum secara generalisasi. Yang kita tumpukan jika ada sikap tertentu dalam kelompok masyarakat tertentu. Pemilihan sampel orang Melayu dan juga beberapa contoh perangai yang menggejala dalam sehari-harian mereka dibicarakan untuk sama-sama mencermati dan mengukur menurut premis sains sosial tadi.

Untuk lebih mengukuh, pembentukan sikap keperangaian tidak dipengaruhi oleh faktor semulajadi (heredity factors) tetapi faktor sekeliling (environment). Ia bukan bersifat biogenic yang tidak dapat diubah atau ditingkatkan, tetapi sociogenic – dipengaruhi oleh tingkat sosialisasi – pembacaan dan pengkajian,  pendedahan, pergaulan juga pengalaman kerohanian jangan sekali diabaikan. Sejak lahir anggota masyarakat menurut alur dan patut tempat mereka bertumbuh. Pengaruh fikiran orang tuanya, memori kolektif anggota masyarakat, adat kebiasaan, hawa, air, udara sama mempengaruhi. Ini telah dibincangkan panjang lebar ahli psikologi. Syed Hussein Alatas yang terkenal dengan bukunya yang paling diingati (memorable) The Myth of Lazy Native menyinggung perkara ini daripada perspektif sosiologi pula. Beliau dengan kerasnya menyanggah argumen yang dibawa oleh orientalis yang menghinggap pula kepada sesetengah penulis watan tentang kaitan faktor semulajadi, bakat diri sebagai alasan menyebabkan peribumi lemah dan malas.

Dalam kerangka pembinaan nasion memberikan perhatian terhadap masyarakat peribumi yang merupakan pentakrif negara amatlah kritikal. Jika mereka lemah, struktur sosial negara akan ikut melemah. Kaum Melayu yang dinyatakan di sini juga secara bertindan memaksudkan kaum bumiputera lainnya di Semenanjung dan Sabah Sarawak. Kelompok ini mewakili demografik seramai 69 % yang besar berdasarkan demografik penduduk Malaysia yang direkodkan pada tahun 2019.

Citra mengenai peribumi malas dilukiskan dengan berkesan dalam tulisan Pentadbir Barat. Anda boleh menemuinya dalam karangan R.O Winstedt, Maxwell. Persepsi ini telah disanggah oleh sangat tersusun oleh Syed Hussein Alatas, seorang sarjana berautoriti dalam bidangnya – sosiologi. Menurut beliau, ideologi kapitalis kolonial dan struktur ekonomi menyeleweng telah menyumbang lahirnya stigma kemalasan peribumi. Beliau membantah dengan hujjah yang sistematik berdasarkan ilmu sosial Barat akan pandangan berkenaan.

Namun, bagaimana sekali kritikan beliau itu melepaskan tuduhan melulu tanpa asas akademik yang kukuh tidak akan bermakna jika peribumi sendiri tidak menyambutnya. Kalangan pemimpin yang dimonopoli oleh ahli politik tambah menanamkan ketakutan yang berimplikasi melebarkan kelemahan baru kepada orang Melayu. Doktrin menakut-nakutkan peribumi ini disusun secara sistematik, sesetengahnya diprogramkan melalui kem-kem wajib khususnya kepada golongan mahasiswa.

Minda Feudalis

Namun ada lagi sikap yang menurut cerminan aktivis pendidik yang patut dikikis daripada mendiami watak orang Melayu. Budaya takut dan minda feudalis. Kita akan pergi lebih jauh untuk menerangkan tentang sikap ini dahulu.

Minda feudalis bukanlah menyangkut kepada sikap tunduk terhadap pemerintah yang dianjurkan oleh agama. Itu sebahagian daripada tuntutan kepada Ulul Amri, kita perlu patuh kepada pemerintah yang adil dan sah selagi tidak berlawanan dengan syarak. Tetapi, tiada pula menghalang daripada kita mempertanyakan kewajaran sesuatu itu untuk mengetahui sandaran, alasan di baliknya.

Sikap menyerah tanpa sepatah kata adalah lukisan diri yang submisif. Kita harus menyerah pada akhirnya pada ketetapan besar. Tetapi izinkan akal juga untuk menerka, menakar, mengukur jawapan yang dialaskan. Bertanya dan mempersoal bukanlah sikap yang baik pada minda konservatif Melayu. Kita diajar menekur apabila menerima sesuatu daripada atas. Penerimaan secara pukal ini menumpulkan daya kritis. Soalan jarang diberikan perhatian. Oleh itu, tidak ada apa yang perlu ditanyakan. Jawapan disimpan dalam fikiran golongan yang menetapkan. Dianjurkan bertanya bukan untuk menyalah, tetapi mengesah, mengabsah. Jika tanpa jawapan, guna apa untuk sesuatu undang-undang tegak? Kita bukan tinggal di rimba raya – yang kuat berkuasa tanpa syarat. Yang lemah hanya dibenarkan bisu dan membatu.

Kemudian daripada itu sikap malu. Orang Melayu kena keluar daripada sikap malu tidak bertempat. Takut dilihat kurang ajar atau kurang adab. Kita tidaklah gemar mengulang apa yang diajarkan oleh Usman Awang –

“Suatu bangsa tidak menjadi besar

Tanpa memilik sifat kurang ajar”

Malu adalah bahagian daripada akhlak Islam. Malu telah membudaya, melembaga di ranah hidup orang Melayu. Suatu sikap yang positif ditinjau daripada sudut etika dan akhlak. Namun, harus diangkat fikiran rasional ke muka. Malu bertempat. Untuk bertanya membuka pintu ilmu, menuntut dan mempertahankan hak, malu tidak memberi erti. Kerap kali sifat malu ini membongsaikan kemajuan. Wanita yang menerima tarbiah daripada sistem pendidikan tradisional diajarkan agar malu mengangkat muka, malu mengeraskan suara, malu ke hadapan, malu bersoal jawab. Sekali lagi tidak kita rempuh garisan merah. Akhlak Islam patut dipelihara. Tetapi, janganlah sampai untuk habis segala pasu bunga dilanggar hanya mengelak kerana malu berselisih jalan di kaki lima dengan guru atau pensyarah. Mereka yang baik-baik lebih dianjurkan mengisi garis depan. Jika tidak seperti yang diungkapkan masyhur oleh kaum sarjana ;

‘kejahatan berleluasa bukanlah ramainya orang-orang jahat, tetapi orang-orang baik tidak tampil berbuat sesuatu”

Amanah akan direbut oleh orang yang bukan ahlinya, apabila orang yang layak tidak berani tampil ke muka lantaran malu. Seperti kita menguruskan jentera untuk memberikan nilai terhadapnya, malu juga perlu diurus untuk memberikan nilaian berguna.

Budaya Pengakur (Conformist)

Budaya sebagai yang difahami lahir melalui proses sosial, sehimpunan kebiasaan-kebiasaan yang bertompok secara kumulatif dalam suatu tempoh waktu tertentu dalam kelompok masyarakat tertentu. Budaya tidak lahir tiba-tiba. Ia ditempa, disubur, dibaja lalu dipakaikan dalam tubuh masyarakat.

Budaya didikan tradisional khususnya yang datang daripada satu aliran yang kering daripada penghayatan dunia yang penuh seni dan warna warni mendorong kepada sikap takut menghadapi perbezaan. Pemikiran binari yang membuahkan sikap dogmatik bermuara daripada garis pendidikan yang beku begini. Melihat dunia antara rumus matematik jika tidak 1 maka 0. Jika tidak bersama kami maka bersama mereka. Jika A bukan B. Dunia diukur hitam dan putih. Pada garis kelabu mereka tidak berani melangkah untuk memberikan warna lain daripadanya.

Pendidikan memang berperanan besar membentuk pola fikir dan sikap terhadap nilai yang datang. Tiada kompromi terhadap soal-soal pokok yang thabit dengan aqidah. Tetapi, sikap menerima secara pukal apa yang dipelajari sebenarnya bukanlah ciri pemikiran yang sihat. Ia dinamakan sebagai pengakur. Tiada apa yang mahu diukur, semuanya diterima dengan menekur. Hasilnya, kita dimomokkan untuk tidak mendekati, menyiasat, membangunkan pendapat sendiri pada perkara yang sejak awal kita telah anggap hitam dan putihnya telah diwarna oleh pengakur yang lebih atas. Sedangkan, tiada salahnya untuk tahu dan kemudian membenarkan apa yang telah dipelajari selama ini. Bebas daripada bertaqlid sebenarnya kemerdekaan sejati.

Contoh klasik memberitahu kita bagaimana masyarakat hidup dalam ketakutan. Daripada momokan berkisar kepada kepercayaan. Mendidik dengan menakut-nakutkan jelas bagi masyarakat tradisional. ‘jangan dekati pokok beringin itu! ada hantu! Jin, ifrit, mambang, setan penunggu busut. Pandangan terlihat daun pisang dibalik pelepahnya yang putih di waktu malam pekat, mencelinak seluruh kanak-kanak bertempiaran ketika pulang mengaji.

Mengingatkan pendidikan akan mengikis sikap menakut-nakutkan itu belum nampak hasilnya. Ketika sekolah formal mulai masuk ke desa-desa, anak-anak Melayu yang terbuka mata orang tuanya dihantar menduduki bangku pelajaran. Mereka aman menghantar anak di sekolah yang dekat dengan sistem sosial dan kepercayaan. Bila anak itu mulai mendapat tempat yang lebih tinggi, dia ditawarkan menyambung pengajian ke sekolah aliran Inggeris, sesetengahnya aliran mubaligh. Maka, banyaklah ibu bapa yang mundur, lebih baik mati berselimut daripada masuk perangkap kafir. Apa yang dibimbangi asasnya ada. Tetapi tetap boleh diurus dengan sikap mental yang objektif. Belajar di sekolah orang putih tidak menjadikan kita hanyut di bawa arus Sungai Thames selagi asuhan kecil di sungai Pahang yang berpaksi tiang Melayu dan Islam kental. Jangan memakai tali leher, menyerupai kaum kafir! Sehingga kain sekecil itu takut dibiar tergantung bekas tegahan yang menggerunkan. Kain tidak memberikan apa-apa mudharat kepada si pemakai sebagaimana pisau tidak memberikan apa-apa mudharat kepada pengguna. Kerana yang memberikan nilaiai bukan kain atau pisau itu, tetapi pelaku, manusia yang menggunakannya. Ke arah mana ia pergunakan. Jika memakai tali leher untuk meraikan etika korporat, tidaklah salah. Tetapi, keberanian memakai baju Melayu atau baju kurta sebagai contoh lain tidak pula patut dilihat salah. Sekali lagi, kain bukan penentu tinggi rendah mutu, darjah iman seseorang.

Namun, kepercayaan begini tidak mengenai masyarakat tradisional yang homogenus sahaja. Ia turut diheret masuk dalam masyarakat kosmopolitan yang serba canggih dengan segala akses dihujung jari. 15 kali pilihanraya umum diusung di tengah jantung demokrasi, sebilangan besar orang Melayu masih ditakut-takutkan. Negara ini akan terjual! Islam akan digantikan dengan agama Kristian! Tanah rizab Melayu akan digadai, Raja-raja Melayu akan dilucutkan dan diganti sistem komunis, Malaysia menuju negara Republik! Murah menjual, mudah membeli. Termakan oleh pembeli yang berjiwa kecut, hanya diagah dimomok-momok, tersungkup fikiran menangkup.

Proses pemaksaan kepercayaan dengan menciptakan ketakutan lebih mudah berbanding proses menakluk keyakinan rakyat dengan mutu kerja? Jika itu yang diyakinkan, ternyata telah lari daripada maksud dari beradu di padang yang rata. Permainan tuduh, label, ajuk, cemuh hanyalah sejuzuk minda yang kalah. Lambang ketiadaan hujah, cemuhan diangkat sebagai senjata membunuh lawan.

Melawan ketakutan bukan bermakna menghilangkan sikap berjaga-jaga. Dengan keberanian menghadapi permainan di padang yang sama lebih membawa kita bersedia. Bersedia untuk kalah dan menang. Bagaimana dengan menyelubungkan diri dengan ketakutan, kita dapat menghadapi musuh yang berani? Justeru, lawan segala ketakutan yang ditanam atau tertanam. Jika orang bicara secara dogmatik, kita lawan dengan sikap kritis. Bangkit untuk kemudian berani.

Muhamad Hanapi Jamaludin
Felo Penyelidik, Majlis Belia Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Mendustakan Melayu malas sedangkan kebanyakan Melayu adalah petani, pesawah, dan nelayan membanting tulang empat kerat di bawah panas terik matahari. Sewenang-wenangnya pula bikin Kontrak Sosial atau Kongsi Kuasa sehingga tanah Melayu merosot ke 12% terutamanya Penang dan Singapore dibiarkan dijajahi kuasa politik majority undi pendatang ibarat Pak Pandir menang bersorak tetapi kampungnya tergadai.
    Tibalah masanya Melayu ikut contoh negara-negara kecil Qatar, UAE, Kuwait, dan baru-baru ini the Dominican Republic ratifikasi ICERD sambil enggan ikhtiraf pendatang sebagai warganegara tempatan demi menjamin hak keistimewaan pribumi mereka.

Comments are closed.