Siling peruntukan Kumpulan Wang Covid-19 akan ditambah RM20 bilion sekali gus menyaksikan nilai keseluruhan peruntukan bagi tujuan berkenaan kini mencecah RM65 bilion.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM ) mengesahkan tiga daripada petugas kesihatannya antara 1,032 kes positif baharu Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka dikesan menerusi kluster baharu Kluster Dialisis iaitu di Sandakan dan Lahad Datu di Sabah.

“Salah seorang daripada mereka membuat ujian saringan sporadic dan virus itu sudah ada dalam komuniti,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Kluster Dialisis melibat daerah Sandakan dan Lahad Datu yang kini 19 individu disahkan positif Covid-19.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham memberitahu, kes positif Covid-19 yang dikesan di asrama pekerja kilang elektronik di Bangi mempunyai kaitan epidemiologi dengan Kluster Hentian yang terletak empat kilometer (KM) antara satu sama lain.

Beliau berkata, kes tersebut menyumbang kepada peningkatan Kluster Hentian.

“Kalau dilihat, hari ini ada banyak pertambahan kes bagi kluster ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk pengesahan mengenai kes berkenaan yang tular di media sosial.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh KKM, Kluster Hentian berada tempat teratas merekodkan kes baharu dengan 67 kes.

Ia menjadikan jumlah kes positif adalah 325 kes dengan 241 pesakit masih dirawat di hospital.

Terdahulu, menerusi perkongsian Bangi Community di Twitter menyatakan 28 individu disahkan positif Covid-19 manakala 146 lagi masih menunggu keputusan. – MalaysiaGazette