KEPESATAN arus globalisasi memberikan satu jaminan bahawa tahap pemikiran masyarakat akan menjadi lebih kompetitif dan terbuka. Pengolahan idea yang menerapkan unsur-unsur
kemajmukan perspektif secara tidak langsung akan membawa kepada kematangan kewilayahan pemikiran seseorang itu. Walaupun kita sedia maklum bahawa pada saat ini di mana
ketidakstabilan politik tempatan dan wabak Covid-19 dilihat sering menghiasi tajuk utama di dalam media massa namun penulis melihat bahawa terdapat satu lagi jenis wabak yang
berbahaya dan akan mematikan keintelektualan jikalau tidak dicegah dengan kadar segera.
Wabak ini dikenali sebagai jurnal ‘predator, yang mana ia berlaku di dalam dunia akademik apabila segelintir ahli akademik memilih jalan mudah untuk memastikan hasil penyelidikan mereka diterbitkan. Jurnal ini mempamerkan satu landasan penerbitan yang meragukan dari sudut asal-usul nya, struktur operasi, dan perkhidmatan yang ditawarkan. Dalam hal yang lain,
satu artikel yang diterbitkan itu mampu untuk memuatkan lebih daripada lima orang penulis.
Dalam konteks akademik Barat, isu ini sudah dibahaskan secara meluas. Isu ini juga pernah mencuri perhatian media tempatan pada beberapa tahun lepas tetapi ianya hanya rancak
diperdebatkan separuh jalan dan tidak ada apa-apa tindakan susulan selepas itu dan praktik ini kekal mendominasi sisi gelap di dalam dunia akademik.Mungkin ramai yang tidak sedar tetapi kewujudan jurnal ini sudah bertapak lamanya namun masih kurang yang mengambil serius akan implikasi jurnal seperti ini. Penulis berhujah bahawa praktik ini sudah menjadi satu ‘wabak’ yang dibudayakan secara halus ke dalam dunia akademik
tempatan.
Di dalam konteks Malaysia, praktik menerbitkan artikel ke dalam jurnal yang berstatus predator atau ‘bogus’ ini semakin membimbangkan dan malah rata-rata yang menghantar artikel
mereka untuk diterbitkan ke dalam jurnal tersebut terdiri daripada ahli akademik dan golongan bijak pandai seperti Profesor, Profesor Madya, pemegang Ph.D, dan juga pelajar di peringkat pasca-siswazah.
Walaupun terdapat banyak kempen yang digerakkan di dalam bulatan akademik di mana fokus dikhususkan kepada usaha untuk menghasilkan jurnal artikel, menghasilkan buku teks dan buku penyelidikan, bab di dalam buku, kertas kerja, dan juga kempen kesedaran seperti ‘plagiarism’, etika penyelidikan dan integriti akademik namun sebahagian besarnya terlepas pandang akan simptom menerbitkan artikel di jurnal predator ini. Adakah isu jurnal predator ini bukan sebahagian dari persoalan etika dan integriti? Jikalau bukan, kategori manakah lagi yang layak
dan sesuai untuk merangkumkan permasalahan tersebut?
Akibat dari angin globalisasi yang memberikan penekanan terhadap pengoperasian kesarjanaan yang bersifat substantif maka kebanyakan universiti tempatan sudah mula mengorak langkah untuk menempa nama di persada antarabangsa dengan berusaha keras untuk menaikkan ‘ranking’ dan kedudukan mereka agar selari dengan universiti-universiti di luar sana yang
mempunyai reputasi yang baik. Ini secara tidak langsung telah menjadikan suasana penyelidikan di dalam konteks universiti tempatan itu menjadi semakin agresif di mana setiap ahli akademik dikehendaki untuk menerbitkan hasil kajian mereka di jurnal akademik yang berprestij dan berindeks ISI/Scopus dan sebagainya.
Ini menjadikan pengalaman akademik itu semakin
menggerunkan di mana setiap kajian yang diterbitkan itu akan direkodkan ke dalam bentuk pemarkahan untuk mengukur prestasi ahli akademik seseorang itu dari tahun ke tahun.
Menyedari bahawa waktu yang diberikan agak singkat untuk menembusi jurnal antarabangsa yang berprestij itu maka sebilangan besar dari mereka mula untuk menerokai laluan mudah dan pantas dan jurnal predator dijadikan sebagai “lubuk” utama yang akan mempamerkan hasil kajian mereka. Dengan hanya membuat bayaran yang ditetapkan oleh editor jurnal predator tersebut, hasil kajian mereka akan diterbitkan serta-merta tanpa perlu melalui proses pewasitan yang agak ketat seperti yang dilaksanakan oleh jurnal yang berintegriti dan bermutu.
Mungkin ada di antara ahli akademik tersebut yang tidak pernah tahu langsung akan kewujudan jurnal akademik tempatan yang lain yang berdaftar di bawah universiti (bebas dari unsur
predator) dan walaupun sebilangan besarnya tidak berindeks dan ianya sangat sesuai dan tepat sekali untuk dijadikan sebagai satu medan penerbitan artikel untuk dikongsikan dengan
masyarakat umum. Atau ahli akademik tersebut mungkin terlalu obses dengan perkataan ‘international’ yang terpapar di halaman jurnal predator tersebut dan lantas mengambil keputusan untuk merendahkan makam kesarjanaan mereka dengan menerbitkan artikel mereka di ruangan yang tidak sepatutnya.
Perlu diingatkan bahawa kualiti kesarjanaan itu tidak diukur semata-mata melalui penarafan ‘international’ itu kerana artikel penyelidikan yang bagus dan berkualiti itu merangkumi perbahasan epistemologi dan kefalsafahan, teori dan hujah yang
dipertaruhkan, metodologi kajian yang diguna pakai, naratif analisis yang menghubungkaitkan sesuatu fenomena sosio-politik itu. Jikalau begitu lah takrifan kualiti kesarjanaan direncanakan
mengikut spesifikasi ‘international’, penulis berfikir bahawa sudah tentu karya Muqaddimah yang dinukilkan oleh Ibn Khaldun itu setaraf dengan kertas projek pelajar tahun akhir kerana
karya tersebut tidak pernah diterbitkan oleh penerbit ternama seperti Routledge! Tetapi karya tersebut tetap kekal sebagai salah satu rujukan dominan di dalam disiplin seperti Sains Politik,
Sosiologi, dan Sejarah.
Tanpa menyedari perkara ini, praktik tersebut akan memberikan kesan yang mendalam terhadap liputan kesarjanaan mereka dan juga terdapat implikasi moral yang tidak boleh dielakkan.
Sarjana Inggeris seperti John Locke juga pernah membahaskan konsep moral ini dari sudut kefalsafahan dengan berhujah bahawa moraliti ini mempunyai pertalian yang sangat rapat
dengan kesanggupan mereka untuk memilih sesuatu yang baik. Walaupun manusia ini memang tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan namun mereka dikurniakan akal fikiran
untuk mengolah sempadan yang akan menyelamatkan mereka dari terjerumus ke arah corak keintelektualan yang tidak sihat ini.
Bayangkan jikalau artikel penyelidikan tersebut diterbitkan oleh jurnal predator yang diragui asal-usulnya itu dan artikel tersebut digunakan untuk tujuan kenaikan pangkat dan juga untuk
memperoleh markah prestasi tahunan mereka maka apakah implikasinya terhadap dunia akademik ini? Dunia akademik ini adalah satu dunia ilmu yang sangat suci dan bebas dari unsur
korupsi dan nomenklatur ‘politiking’ dan ia juga adalah satu jalan yang membentuk keperibadian dan kesarjanaan seseorang itu dengan berpaksikan kepada metodologi ilmu yang direka khusus
untuk meraikan perbezaan displin itu.
Penulis juga berharap agar praktik seumpama ini dihentikan dengan kadar segera kerana sememangnya tidak ada jalan pendek di dalam dunia akademik ini.
Oleh: Dr. Ariff Aizuddin Azlan, Pensyarah Kanan Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kampus Seremban, Negeri Sembilan.