KUALA LUMPUR – Puan Mary yang dicari Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di laman Twitter akhirnya ditemui.
Pagi tadi tular pada portal FMT tentang penderitaan Puan Mary sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac berikutan penularan wabak Covid-19 menerusi perkongsian beberapa keping gambar yang dmemaparkan wanita itu terpaksa menggunakan troli untuk menjual nasi lemak dan mi goreng di Taman Desa, di sini.
Wanita itu dikatakan tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk membuka gerai dan hanya mendapat pendapatan kurang daripada RM80 sehari.
Berikutan itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar mengambil inisiatif mencari Puan Mary, atau nama sebenarnya Nurajahan Mariammah Abdullah, di kediamannya di Flat Sri Lempah.
Santhara yang memuat naik beberapa keping gambar pertemuannya dengan ibu tunggal itu mendedahkan Nurajahan kehilangan suami pada 2014 kini menyara tiga orang anaknya.
Bagaimanapun semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, anaknya telah kehilangan pekerjaan menyebabkan keluarganya bergantung dengan pendapatan Nuirajahan.
Nurjahan sebelum inimerupakan tukang cuci dan pemotong buah turut diberhentikan kerja akibat penularan Covid-19.
“Puan Nurajahan dan anak lelakinya yang berusia 20 tahun telah kehilangan pekerjaan sejak Mac lalu akibat dari pandemik Covid-19 dan kini mencari rezeki dengan menjual nasi lemak dan bihun menggunakan troli di sekitar Taman Desa setiap pagi.
“Saya akan bantu wanita ini mendapatkan lesen penjaja setelah mengenalpasti lokasi sesuai untuknya dalam masa terdekat, kita juga telah memohon kepada JAWI untuk menyalurkan bantuan bagi meringankan bebannya,” tulisnya dalam laman Facebook selepas mengadakan pertemuan dengan Nurajahan.
Nurajahan menjual sekurang-kurangnya 40 bungkus nasi lemak dan 10 bungkus mihun goreng setiap pagi.
Nurjahan bercita-cita untuk membuka sebuah gerai menjual roti canai, nasi lemak dan mi goreng pada waktu pagi manakala waktu petang dia ingin menjual nasi campur.
Namun, kerisauan mula bertapak apabila diberitahu pihak berkuasa bahawa agak sukar untuk mendapatkan lesen penjaja ketika ini.
Sementara itu, Nurajahan memberitahu, walaupun berniaga dengan menolak troli sukar namun ia mempunyai kelebihan yang mana dia tidak perlu menunggu pelanggan di satu tempat.
Menurut Nurajahan, dia boleh berjalan lebih jauh di sekitar Taman Desa, iaitu kawasan tempat tinggalnya.
Ujarnya, oleh kerana dia terpaksa berdiri hampir lima jam setiap hari dan tanpa kasut yang sesuai menjadikan kakinya bengkak dan sakit. – MalaysiaGazette