Siapa Presiden Amerika Syarikat yang baharu, Joe Biden atau Donald Trump? foto Agensi

SELURUH dunia kini sedang menunggu keputusan penuh pilihan raya Presiden Amerika Syarikat. Pertandingan hangat diantara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mewakili parti Republikan dan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang mewakili parti Demokrat menjaditumpuan ramai pihak bukan sahaja di Amerika Syarikat,malah di serata dunia. Ramai pihak ingin ketahui siapa yang bakal menerajui negara Uncle Sam berkenaan serta menjadi ketua kuasa besar dunia untuk tempoh empat tahun yang akan datang. Banyak persoalan timbul sama ada Presiden Donald Trump akan berjaya untuk mengekalkan jawatan Presiden Amerika Syarikat yang telah dipegang olehnya semenjak tahun 2016 yang lalu ataupun kuasanya bakal berakhir dengan kemenangan lawannya iaitu Joe Biden.

Namun, apa kesannya keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat ini kepada kita semua, khususnya kepada umat Islam itu sendiri? Terus terang dikatakan, sesiapa pun yang bakal menduduki kerusi Presiden di Rumah Putih kelak, tidak banyak perubahan yang boleh diharapkan berlaku bagi umat Islam. Namun, mungkin terdapat sedikit perbezaan diantara Presiden Donald Trump dan Joe Biden dalam cara mereka untuk menjalinkan hubungan persahabatan dengan umat Islam. Cara Presiden Donald Trump dilihat lebih kasar kerana sikapnya yang suka berterus- terang dan lebih mementingkan kepentingan negara dia sendiri. Bagi calon parti Demokrat Joe Biden pula, beliau dilihat lebih sopan serta mengawal percakapannya.

Walau sesiapa pun yang menjadi Presiden Amerika Syarikat, umat Islam tidak seharusnya meletakkan harapan tinggi terhadap pentadbiran Amerika Syarikat bagi melindungi serta membantu diri mereka. Perlu diingatkan Amerika Syarikat bukan sebuah negara Islam. Pemimpin mereka juga bukan orang Islam. Bagaimana pula negara dan orang bukan Islam hendak menghulurkan perlindungan dan bantuan sepenuhnya kepada umat Islam? Nampak pelik di sini. Sampai bila umat Islam harus bergantung harap kepada Amerika Syarikat dalam banyak perkara seperti ekonomi, pelaburan, bantuan kemanusiaan dan lain-lain lagi?

Sampai bila juga umat Islam harus bergantung harap terhadap negara Amerika Syarikat atau lebih dikenali sebagai negara Uncle Sam ini bagi menyelesaikan banyak isu yang bangkit yang berlaku dikalangan umat Islam pada masa kini seperti konflik Palestin, peperangan yang berpanjangan di bumi Syria dan Iraq, masalah penghapusan etnik Rohingya di Myanmar dan lain-lain lagi. Adakah Amerika Syarikat benar- benar ikhlas ingin membantu negara serta masyarakat Islam? Untuk makluman, usaha damai yang diterajui oleh Amerika Syarikat bagi menyelesaikan konflik lebih setengah abad antara masyarakat Palestin dan Israel masih menemui jalan buntu sehingga kini.

Malah, jika dilihat dari tahun ke tahun sejak konflik berkenaan wujud pada tahun 1948, nasib masyarakat Palestin menjadi lebih buruk sehingga hari ini. Ia jelas menunjukkan kepada kita bahawa, sesiapa pun yang menjadi Presiden Amerika Syarikat, ia tidak langsung membawa apa- apa manfaat kepada umat Islam.

Oleh itu, sudah sampai masanya, umat Islam untuk bangkit serta menambahkan kekuatan terhadap diri mereka sendiri serta bangkit mempertahankan maruah diri serta agama mereka sendiri tanpa sentiasa mengharapkan Amerika Syarikat. Terdapat lebih 1 billion umat Islam diseluruh dunia.Umat Islam harus terus menjalinkan kerjasama sesama mereka serta mengetepikan segala perselisihan yang wujud sesama mereka.

Pertubuhan Kerjasama Negara Islam atau lebih dikenali sebagai OIC yang telah ditubuhkan oleh umat Islam itu sendiri hampir sentengah abad yang lalu perlu menjadi platform utama untuk semua umat Islam tampil bersatu. Semua negara Islam harus bersatu dalam menghadapi segala cabaran yang bangkit dalam kalangan masyarakat Islam itu sendiri seperti masalah pengganas, masalah pelarian, masalah buta huruf dan lain – lain lagi tanpa perlu sentiasa bergantung harap pada negara bukan Islam terutamanya Amerika Syarikat yang belum tentu ikhlas menghulurkan sebarang jenis perlindungan ataupun bantuan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast