KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedia memberikan idea dan bekerjasama kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memulihkan ekonomi negara khususnya sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Dr Mahathir meletakkan keyakinan tinggi bahawa industri pelancongan negara termasuk Langkawi boleh diperbaiki jika Kerajaan Persekutuan memberikan kebenaran tertentu dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
“Sebenarnya terdapat banyak cara dan cadangan untuk memperbaiki ekonomi Langkawi. Tetapi setakat ini kebenaran kerajaan tidak dapat diperolehi.
“Mungkin ia disebabkan wabak Covid-19. Tetapi jika dirancang dengan mengambil kira SOP Covid, industri pelancongan dan lain-lain industri boleh diperbaiki.
“Ini bukan sahaja boleh dilakukan tanpa peruntukan kerajaan tetapi boleh menyumbang kepada pertambahan dana kerajaan.
“Mungkin ada sesiapa dalam kerajaan yang boleh dengar rintihan peniaga kecil seperti ini dan beri pertimbangan. Saya akan terus berikan idea lain jika ianya dapat membantu,” katanya melalui catatan terbaru di blog Chedet.cc, hari ini.
Bekas Pengerusi Bersatu itu juga tidak menolak kemungkinan penularan wabak Covid-19 akan memakan masa lama untuk dibendung, apatah lagi dihapuskan dalam masa terdekat.
Namun katanya, langkah pemulihan ekonomi negara perlu diteruskan kerana rakyat perlu terus hidup dan menjana pendapatan untuk menyara kehidupan diri dan keluarga.
“Saya fikir penyakit ini akan ambil masa yang lama. Kita tidak mungkin dapat hapus terus penyakit ini dalam masa terdekat.
“Rakyat harus diberi peluang (pulihkan ekonomi) jika tidak negara akan mengalami kehancuran ekonomi,” katanya.
Sebagai langkah awal pemulihan sektor pelancongan di Langkawi, kerajaan digesa membenarkan pelancong dari Lembah Klang untuk merentas negeri dengan SOP yang ketat.
“Walaupun beberapa bulan lalu terdapat peningkatan kemasukan pelancong tempatan, malangnya pertambahan mendadak kes Covid-19 telah membantutkan kedatangan pelancong ke Langkawi.
“Peniaga-peniaga merungut, banyak kedai ditutup, ada yang hanya sementara tetapi ada juga gulung tikar. Pusat-pusat pelancongan kelihatan sepi. Kereta-kereta sewa banyak tersadai kerana ketiadaan pelanggan. Restoran-restoran dulunya tumpuan pelancong juga sepi.
“Nyata PKP terbaru ini menjejas sektor pelancongan kerana ramai pelancong tempatan, terutamanya dari Selangor dan Kuala Lumpur tidak dapat berkunjung ke Langkawi.
“Saya khuatir kesan jangka panjang kepada ekonomi Langkawi dan kepada kehidupan penduduk pulau ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette