Gambar hiasan

KOTA BHARU – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yakin kerajaan akan mengambil jalan terbaik berhubung isu cadangan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mustapa berkata penelitian perlu diberikan memandangkan terdapat kekangan dalam pengambilan dari Akaun 1 itu, yang melibatkan pesara dan golongan sasaran iaitu rakyat terhimpit.

“Antara isunya, kita difahamkan kira-kira 70 peratus daripada pencarum yang menyimpan di KWSP ini mempunyai simpanan kurang dari RM50,000 dan perkara ini bukan mudah diputuskan.

“Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah pun beritahu dan beri gambaran awal, apapun, kita tunggu pengumuman Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok. Pasti ada pengumuman mengenainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini KWSP mempunyai seramai 14.5 juta pencarum, namun yang masih mencarum hanya 8 juta saja.

“KWSP ini simpanan hari tua dan memandangkan jangka hayat kita semakin panjang, ia perlukan wang mencukupi untuk hari tua, oleh itu kita harus mempunyai jumlah duit mencukupi. Setiap rakyat harus mempunyai amaun yang mencukupi bagi memastikan mereka tidak mempunyai masalah kewangan yang besar semasa hari tua,” kata Mustapa.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast