Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mempunyai 13 saluran aduan untuk membolehkan orang awam menyalurkan aduan terus kepada pihak kementerian dan agensi.

Menterinya, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, setiap aduan akan disaring dan disalurkan kepada Agensi yang terlibat untuk siasatan dan tindakan.

Jelas beliau, KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) komited dalam memastikan semua jalan persekutuan sentiasa dalam keadaan yang selamat dan selesa dengan melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan sepanjang tahun berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Bagi mengatasi aduan berkaitan jalan berlubang (pothole), Kementerian ini telah mengaktifkan program Aku Janji Sifar Lubang peringkat Kebangsaan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat-syarikat Konsesi Jalan Persekutuan.

“Di bawah program ini, kerja tampalan lubang perlu dilaksanakan dalam tempoh 24 jam setelah aduan diterima.  Kerja penampalan lubang ini merupakan langkah awal pencegahan atau preventive bagi tujuan keselamatan pengguna jalan raya sebelum kerjakerja turapan kekal dilaksanakan.

“Di samping itu, syarikat konsesi yang dilantik melalui perjanjian penswastaan di bawah skop Kerja Penyenggaraan Rutin perlu melakukan rondaan pemeriksaan rutin jalan
persekutuan dengan kekerapan dua kali seminggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Abdul Azeez meminta KKR menyenaraikan langkah-langkah yang akan diambil dalam mengendalikan aduan rakyat berkenaan kerosakan jalan raya dan kualiti pembaikan jalan raya oleh kontraktor yang mungkin menyebabkan kerosakan harta benda juga kehilangan nyawa.

Fadhilah menambah, jangka hayat turapan jalan adalah antara lima hingga tujuh tahun di mana faktor kenderaan berat yang melebihi had muatan dibenarkan, juga akan
mempengaruhi dan mengurangkan tempoh jangka hayat sesebuah jalan tersebut.

Jelasnya, apabila sesebuah jalan telah mencapai tempoh jangka hayat tersebut, jalan berkenaan perlu disenggara di bawah program penyenggaraan berkala pavemen iaitu  perlu diturap semula.

Menurutnya, KKR juga sentiasa berusaha meningkatkan ciri-ciri keselamatan jalan raya di negara ini, khususnya melibatkan lokasi yang kerap berlaku kemalangan (Blackspot) di bawah program khas keselamatan jalan raya.

“Antara kaedah rawatan dan skop kerja di bawah program Blackspot ini ialah seperti mengecat semula garisan jalan, memasang pepaku jalan pantulan, memasang lampu jalan, memasang papan tanda amaran, menyedia garisan jalan transverse bar dan memasang papan tanda peringatan kawasan kemalangan.

“Inisiatif-inisiatif tersebut di atas akan ditambah baik dari semasa ke semasa, supaya selari dengan misi KKR, iaitu memastikan pembangunan infrastruktur dirancang, dilaksana dan disenggara dengan cekap dan berkualiti tinggi dalam usaha menyediakan kemudahan, keselesaan dan keselamatan kepada pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette