KUALA LUMPUR – Kerajaan menjelaskan tidak terdapat keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau lockdown di sebalik peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, ini kerana sekiranya PKP dilaksanakan semula, tindakan itu bakal memberi kesan negatif kepada kesihatan mental dan ekonomi.
Menurutnya, pada masa sama, negara kini dalam peringkat pemulihan dan ‘exit policy’ di samping melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini.
“Sekiranya total lockdown ini dibuat, ia akan memberikan kesan negatif kepada kesihatan mental dan ekonomi,” katanya dalam sesi persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) berkenaan PKP yang kini masih tidak dilaksanakan kerajaan walaupun berlaku penularan Covid-19.
Mohd. Redzuan memberitahu, kerajaan telah membuat kawalan seimbang melalui kaedah pencegahan terbaik dengan membudayakan dan mengamalkan norma baharu kehidupan serta penjarakan sosial.