Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal memastikan rakyat sentiasa dilindungi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, iai jelas dilihat melalui peruntukan yang tertinggi untuk Rakyat dalam Belanjawan 2021 berbanding belanjawan Negara yang pernah dibentangkan sebelum ini.

“Pelbagai langkah yang digubal bukan sahaja bagi keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat untuk hari ini, tetapi juga bagi
membantu rakyat membina sebuah masa depan yang lebih kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Muhyiddin berkata, Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.5 bilion yang baharu dibentangkan hari ini adalah penzahiran konsep Prihatin Rakyat yang didokong teguh oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

“Walaupun negara berada dalam situasi yang sukar dan mencabar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan sama sekali. Ini
merupakan tekad kerajaan dalam memastikan wabak Covid-19 ditangani dengan berkesan, bagi menjamin matlamat kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan serta ketahanan ekonomi,” katanya.

Belanjawan yang sama juga mencerminkan hasrat dan keperluan rakyat dan perniagaan, hasil maklum balas daripada 6,000 respons yang diterima melalui pelbagai platform dan sesi libat urus.

Kerajaan, katanya, telah menggubal sebuah Belanjawan yang berprinsip melindungi rakyat dan perniagaan dan membantu mereka untuk melonjak kembali serta menjamin masa depan mereka yang lebih berdaya tahan dan lestari.

“Kerajaan sedar bahawa yang paling membimbangkan rakyat adalah kesihatan mereka dan punca rezeki bagi menyokong kelangsungan hidup masing-masing,” ujarnya lagi.

Belanjawan 2021 juga akan meneruskan momentum yang telah dicapai selepas pelaksanaan empat pakej rangsangan terdahulu yang berjumlah RM305 bilion iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN.

Melalui Belanjawan 2021, katanya, pelbagai jenis bantuan, subsidi dan insentif yang bernilai keseluruhannya RM28 bilion telah disediakan oleh terutamanya bagi menangani beban kos sara hidup dan memelihara kebajikan golongan rentan.

Selain itu, kerajaan juga komited bagi memberi peluang dan mengekalkan pekerjaan, memastikan keterangkuman dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

Daripada jumlah ini, menurut Perdana Menteri, bantuan langsung iaitu Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), dijangka memanfaatkan sejumlah 8.1 juta rakyat dengan peruntukan RM6.5 bilion.

Kerajaan terus mengambil maklum kebimbangan rakyat tentang kelangsungan hidup mereka terutamanya dari segi pekerjaan dan punca rezeki.

Justeru, kerajaan bertekad untuk mencapai sasaran 500 ribu peluang pekerjaan baharu melalui pelbagai program termasuk peningkatan kemahiran dan latihan semula.

“Sehubungan itu, kerajaan juga telah mengumumkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara. Majlis ini akan dipengerusikan oleh saya sendiri dan akan menyelaraskan semua inisiatif kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat,” ujarnya.

Belanjawan 2021 mengambil pendekatan bersasar untuk memastikan bahawa mereka yang benar-benar memerlukan akan terus mendapat sokongan dan bantuan daripada kerajaan.

“Golongan ini merentas kaum dan ideologi, tidak kira di pelosok negeri mana mereka berada.

“Pendekatan bersasar ini diambil kira dalam mengizinkan pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP bagi mereka yang telah hilang pekerjaan dan benar-benar terjejas.

“Begitu juga dengan penambahbaikan Bantuan Pembayaran Bersasar oleh sektor perbankan dari segi kelonggaran pembayaran kepada peminjam yang dikenal pasti,” kata Muhyiddin.

Selain itu, kerajaan juga akan memastikan sektor perniagaan dan ekonomi terus didorong melalui pelbagai langkah khusus yang bukan sahaja memberi sokongan pembiayaan tetapi juga menambah baik ekosistem perniagaan secara umumnya.

“Saya yakin Malaysia akan terus kekal sebagai destinasi pilihan kepada pelaburpelabur asing dan domestik.

“Usaha memastikan ketahanan ekonomi negara juga adalah antara fokus utama Kerajaan dalam belanjawan kali ini. Kerajaan komited dalam melaksanakan belanjawan pengembangan, sementara terus mengekalkan disiplin fiskal.

Justeru, pemantapan penyampaian perkhidmatan awam juga turut diberikan penekanan.

Prinsip melindungi (protect), melonjak kembali (rebound), serta menjamin (secure) juga adalah bertujuan untuk terus menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Wawasan ini akan menjadi penunjuk arah dasar-dasar kerajaan dalam merapatkan jurang ekonomi dengan segala hasil kemakmuran negara dikongsi oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kumpulan etnik dan wilayah.

“Belanjawan 2021 adalah sebahagian daripada janji kerajaan untuk mencapai kesejahteraan dan kemakmuran yang sebenar bagi seluruh rakyat Malaysia serta untuk memastikan setiap rakyat terus maju dan makmur bersama.

“Kerajaan menyeru agar rakyat Malaysia berganding bahu dan menjunjung semangat solidariti dalam usaha kita memerangi wabak Covid-19 dan cabaran ekonomi semasa,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast