Kerajaan mengumumkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara bagi menyelaras pelbagai inisiatif merentas kementerian dan agensi.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara bagi menyelaras pelbagai inisiatif merentas kementerian dan agensi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pembentukan majlis itu berfungsi mencipta peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan pekerja.

“Agensi LAKSANA (Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional) akan bertanggungjawab untuk memantau keberkesanan segala inisiatif bagi memastikan rakyat Malaysia terus mendapat peluang pekerjaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM100 juta disediakan bagi menyelenggara infrastruktur kawasan perindustrian nagi meningkatkan daya saing industri.

“Peruntukan RM42 juta di bawah program JENDELA bagi menambah baik kesalinghubungan internet di 25 kawasan perindustrian.

“Sebuah loji rawatan air akan dibina di daerah Kubang Pasu bagi menyokong keperluan pelaburan projek Zon Ekonomi Sempadan Khas Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan penduduk di kawasan berkenaan.

“Peruntukan RM45 juta bagi memenuhi keperluan pembekalan air bagi sektor petrokimia yang tertumpu di zon perindustrian Gebeng,” katanya. – MalaysiaGazette