Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menunjukkan Memorandum Suara Hati Rakyat yang diserahkan kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO kesal Belanjawan 2021 hanya memberikan insentif RM50 secara one-off kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi pembiayaan data Internet untuk pembelajaran dalam talian.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan tersebut tidak menepati cadangan sayap parti itu yang mahu insentif itu diberikan secara bulanan bagi meringankan mahasiswa yang terpaksa meneruskan pengajian dalam talian akibat pandemik Covid-19.

“Pemuda UMNO cadang bantuan bulanan RM50 sebulan selama 1 tahun yang dikreditkan ke E-Wallet untuk bantu belia di Universiti Awam dan Swasta beli data telefon mudah alih bagi tujuan pembelajaran online.

“Namun, hari ini Kerajaan umum RM50 one-off  atau sekali bayar sahaja, akan dikreditkan ke dalam E-Wallet 1.5 juta belia 18 hingga 20 tahun,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas Belanjawan Negara 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat, hari ini.

Di bawah Pembangunan Belia dan Sukan melalui Program eBelia, kerajaan bersetuju untuk mengkreditkan RM50 secara satu kali ke dalam akaun e-wallet bagi mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun.

Dengan peruntukan RM75 juta, inisiatif ini akan memanfaatkan lebih dari 1.5 juta belia.

Pada 1 November lalu, Pemuda UMNO dalam syornya antara lain meningkatkan aliran tunai rakyat melalui pemberian bantuan bulanan E-Wallet sebanyak RM50 sebulan selama 12 bulan.

Insentif ini dicadangkan diberikan kepada pelajar universiti awam dan universiti swasta untuk pembelian data telefon mudah alih bagi  pembelajaran dalam talian. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.