Pfizer-BioNTech Covid-19 vaccine Muhyiddin Yassin National Covid-19 Immunisation Programme
Muhyiddin Yassin PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 telah memberikan tumpuan khusus kepada inisiatif-inisiatif membantu golongan rentan yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Golongan rentan terdiri daripada mereka kurang upaya dan miskin termasuk wanita, warga Emas, Orang Kelainan Upaya dan sebagainya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan terus berusaha untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat dan menyediakan program perlindungan sosial yang komprehensif untuk memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah tidak tertinggal daripada arus pembangunan negara.

Tegas beliau, Kerajaan Perikatan Nasional akan terus komited untuk menetapkan visi Malaysia sebagai negara yang mampan, adil, saksama dan inklusif sekaligus meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu padu dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa.

“Ini adalah hasrat yang telah kita nyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Saya percaya Malaysia mampu bangkit semula selepas ini.

“Ini terbukti kerana di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, ramai rakyat Malaysia yang menunjukkan sikap mulia, saling membantu keluarga yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama.

“Inilah keluarga Malaysia yang unik dan sentiasa bersama-sama bantu-membantu baik ketika susah atau senang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan secara langsung di Facebook Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini.

Tema sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan pada tahun ini adalah Kita Jaga Keluarga.

Muhyiddin berkata, sempena Bulan Keluarga Kebangsaan ini, pelbagai aktiviti telah dirancang untuk diadakan dan salah satu daripadanya ialah Akademi Keluarga Sejahtera yang dilaksanakan secara dalam talian bagi menyebarkan maklumat kekeluargaan kepada masyarakat.

Kata beliau, ia adalah insiatif yang amat baik dalam usaha membina institusi keluarga yang bahagia dan harmoni.

“Syabas saya ucapkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang cakna dengan amalan norma baharu dan terus berusaha menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat walaupun terdapat kekangan secara fizikal.

“Saya berharap segala pengisian program dan aktiviti yang dirancangkan ini akan menjadi platform dan pencetus bagi penyertaan pelbagai pihak untuk meraikan Bulan Keluarga Kebangsaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast