Seorang pegawai KPDNHEP mengedarkan risalah undang-undang dan peraturan-peraturan kepada peniaga di pasar di Selangor. Gambar: Facebook KPDNHEP Selangor

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melaksanakan pemeriksaan terhadap bekalan barangan keperluan di negeri itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pemeriksaan dan tinjauan giat dijalankan membabitkan 200 pegawai penguat kuasa dan 77 pegawai pemantau harga bagi melihat sama ada berlakunya pembelian panik.

“Pemantauan berterusan juga dilakukan untuk memastikan bekalan barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, telur dan barangan basah sentiasa mencukupi sepanjang tempoh PKPB ini.

“Selain itu, pihak KPDNHEP Selangor ingin memastikan bahawa tidak berlakunya manipulasi harga dalam kalangan peniaga yang mana akhirnya akan membebankan rakyat serta pengguna,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, hasil pemantauan mendapati, tidak berlaku pembelian panik oleh pengguna dan suasana perniagaan berlangsung seperti biasa.

Jelas beliau, pemeriksaan ke atas bekalan semasa barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, susu tepung, biskut, sardin, mee segera, telur ayam, makanan sejuk beku dan sebagainya didapati mencukupi bagi kegunaan pengguna di negeri itu.

“Kebanyakan peniaga yang ditemui juga memaklumkan tiada pembelian panik berlaku di premis mereka dan peningkatan jualan adalah biasa kerana sektor ekonomi berjalan seperti biasa.

“Pengguna yang ditemui juga memaklumkan mereka berbelanja seperti biasa dan tiada pembelian berlebihan dibuat walaupun PKPB akan bersambung sehingga 6 Disember,” ujarnya.

Muhamad Zikril Azan turut menegaskan, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari di semua daerah di Selangor agar keperluan barangan makanan tidak terganggu.

Katanya lagi, pengguna dinasihatkan agar dapat membuat pembelian dengan berhemah dan dalam kuantiti yang wajar bagi keperluan semasa mereka manakala peniaga diberi amaran agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Sementara itu, sebanyak 6,526 aduan membabitkan pelbagai isu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Jelasnya, sebahagian besar aduan membabitkan harga barangan iaitu 2,061, manakala isu barang keperluan asas sebanyak 127 aduan. – MalaysiaGazette