Dr Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Hanya kerana peruntukan RM11.1 bilion untuk membantu institusi dan usahawan bumiputera serta RM1.4 bilion menguruskan hal ehwal Islam, maka Belanjawan 2021 dianggap rasis oleh pihak tertentu.

Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusof berkata, tuduhan itu menunjukkan pihak dalam pembangkang terdesak sehingga memaksa mereka menghasut rakyat supaya benci kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau, mereka sanggup menggunakan sentiment kaum dan agama bagi mencapai tujuannya, sedangkan selama ini mereka yang terkedepan mengecam penggunaan isu kaum serta agama.

“Terbaru adalah tindakan mereka menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai rasis dan tidak Islamik semata-mata kerana di dalamnya ada peruntukan RM11.1 bilion untuk membantu institusi dan usahawan Bumiputera serta peruntukan RM1.4 bilion untuk menguruskan hal ehwal Islam.

“Rasis dan tidak Islamikkah bila kerajaan mengeluarkan peruntukan untuk mendaulatkan Perlembagaan, khususnya Perkara 153 Perlembagaan mengenai kedudukan istimewa Bumiputera dan Perkara 3 Perlembagaan mengenai kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan?

“Jika kerajaan PN rasis dan tidak Islamik, mengapa tuduhan sama tidak dilemparkan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memperuntukkan RM8 bilion untuk membantu institusi dan usahawan Bumiputera serta RM1.3 bilion untuk menguruskan hal ehwal Islam dalam Belanjawan 2020?,” katanya dalam hantaran yang dipetik menerusi Facebook hari ini.

Beliau yang juga pensyarah sebuah universiti tempatan berkata, apa yang dilakukan kerajaan PN adalah untuk memantapkan lagi apa yang telah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

Justeru, katanya, kerajaan PN menambah RM3.1 bilion lagi untuk membantu institusi dan usahawan Bumiputera serta tambahan RM0.1 bilion bagi menguruskan hal ehwal Islam.

Kata Dr. Kamarul Zaman, jika pihak terbabit jujur, mengapa tidak dibangkitkan lambakan peruntukan lain yang memberi manfaat kepada seluruh golongan rakyat tanpa mengira apa ras dan agama mereka.

“Lebih teruk lagi bila mereka berani menggunakan nama istana untuk menghasut rakyat supaya menolak Belanjawan 2021 dengan menyebut kononnya pihak istana juga menolaknya,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.