Jenazah Mohd Irfan Mohamed Rawi dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) selepas selesai proses bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 09 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Jenazah mangsa nahas helikopter terhempas Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, selesai menjalani bedah siasat di Unit Forensik Hospital Tunku Canselor Muhriz (HCTM) petang ini.

Jenazah dimandi dan disembahyangkan di bilik mayat di unit berkenaan oleh kakitangan hospital serta beberapa individu dipercayai kenalannya.

Jenazah Allahyarham kemudiannya diusung dan dibawa masuk ke dalam kenderaan jenazah untuk di bawa ke Surau Al Ikhwan PUJ 2, di Taman Puncak Jalil dan akan dikebumikan di situ.

Turut kelihatan beberapa waris mangsa yang keluar bersama mengiringi keranda yang diusung dari unit forensik berkenaan dalam keadaan sedih dan pilu.

Pengamal media dimaklumkan oleh Pegawai Perhubungan Awam HCTM, kesemua waris yang hadir tidak enggan ditemui media.

Van jenazah berkenaan kemudiannya bergerak meninggalkan pekarangan bilik mayat itu kira-kira pukul 2 petang bersama dengan waris-waris.

Terdahulu, unit forensik berkenaan turut menjalankan bedah siasat terhadap rakan mangsa Allahyarham Leftenan Kolonel (B) Mohd Sabri Baharom.

Jenazah Allahyarham dibawa menaiki kenderaan jenazah dan beredar dari unit forensik itu kira-kira pukul 11.40 pagi menuju ke Masjid Khalid Al-Walid di Jalan Padang Tembak untuk disembahyangkan di situ sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Batu Caves.

Hari ini, Unit Forensik HCTM melakukan bedah siasat terhadap kedua-dua jenazah berkenaan yang merupakan mangsa nahas helikopter terhempas di Taman Melawati, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi semalam, dua buah helikopter (9M-HCA dan 9M-HCB) jenis G2CA yang sedang melakukan latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dilaporkan bertembung.

Akibat daripada pertembungan tersebut, salah sebuah helikopter terhempas, sementara sebuah lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati.

Kedua-dua helikopter itu dipercayai menuju ke Genting Sempah. – MalaysiaGazette