KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah tidak perlu defensif mendakwa Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang akan dihidupkan semula Januari tahun depan tiada kaitan politik kepada kerajaan.
Bekas Ketua Pengarah JASA, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, memang tujuan jabatan itu ditubuhkan pada zaman Barisan Nasional (BN) sebelum ini sebagai agensi penyebaran maklumat dan komunikasi kerajaan secara strategik.
“Walaupun apa sekalipun kewujudan dan peranannya sama ada dalam zaman BN mahupun Perikatan Nasional (PN), ia tetap dikaitkan dengan politik. Jangan terlalu apologatik.
“Isunya sekarang ialah (rakyat persoalkan) peruntukan sebanyak RM85.5 juta kepada JASA itu terlalu besar. Bajet itu tidak sensitif kepada keutamaan, tatkala negara dilanda gelombang tiga Covid-19.
“Sememangnya kerajaan hari ini memerlukan beberapa agensi sebagai lidah penyampai dasar dan inisiatif kerajaan. Apa salahnya?” soal beliau dalam hantaran menerusi Facebooknya, hari ini.
Menurut Dr. Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, DAP paling antara parti politik takut dengan JASA.
Katanya, parti cauvinis itu Biro Tata Negara (BTN) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
“Sebab itu DAP tutup JASA sebagai balas memdendam kerana agensi itu paling aktif menjawab pembohongan pembangkang melalui media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, tegasnya, dengan peruntukan yang begitu besar disediakan kerajaan PN, beliau tidak menolak kemungkinan akan digunakan untuk membantu parti Bersatu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Walaupun menteri mengaku peruntukan empat kali ganda itu akan digunakan untuk membangun Stratcom yang kuat. Apakah tidak mungkin ia juga akan digunakan oleh parti Bersatu untuk PRU 15. Atau menaja portal politik tertentu?
“Apatah lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggunakan SOP baru pada PRU akan datang. Antaranya tidak membenarkan kempen rumah ke rumah dan ceramah terbuka. Sudah tentu media sosial akan menjadi alat kempen yang utama.
“Justeru, elok kerajaan buat pindaan sebelum Belanjawan 2021 diluluskan. Ikut syiling tahun 2018 atau dikurangkan sikit,” katanya. – MalaysiaGazette