KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini bakal tertumpu kepada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 selepas dibentangkan Jumaat lalu.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, perbahasan akan bermula sebaik selesai sesi soal jawab lisan yang akan membuka tirai hari keenam persidangan itu, yang mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen; 41 pihak kerajaan, 39 pembangkang dan Bebas dibenar berada dalam dewan pada satu-satu masa.

Tumpuan pada persidangan yang akan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 2 petang itu turut terarah kepada isu kekurangan peluang pekerjaan bagi siswazah dan penjajahan Palestin iaitu antara pertanyaan pada sesi soal jawab lisan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) akan mengajukan soalan kepada Menteri Sumber Manusia mengenai langkah dan tindakan kerajaan dalam menangani masalah kekurangan peluang pekerjaan untuk siswazah baharu serta pekerja yang diberhentikan akibat kemelesetan ekonomi tahun ini.

Selain itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) akan meminta Menteri Luar Negeri menyatakan langkah-langkah proaktif bersama badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menyuarakan bantahan berkaitan rancangan ketidakadilan normalisasi Israel untuk mengiktiraf penjajahan ke atas Palestin.

Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) pula akan mengemukakan soalan kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengenai jumlah benih padi baharu yang dihasilkan pusat penyelidikan sejak 2008 hingga kini.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast