Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) hari ini sebulat suara melantik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengarah Pilihan Raya gabungan  itu bagi mengetuai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, MT PN turut memutuskan penubuhan Badan Perhubungan Negeri PN bagi memperkasakan gerak kerja di peringkat akar umbi dan menyelaras aktiviti parti di peringkat negeri.

Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat MT PN pada 9 November lalu yang memuktamadkan beberapa keputusan bagi mengukuhkan kedudukan PN sebagai parti politik yang menerajui kerajaan hari ini.

“Dalam hal ini, Pengerusi PN akan melantik Pengerusi Badan Perhubungan Negeri yang akan memanggil dan mempengerusikan semua mesyuarat Badan Perhubungan Negeri,”  kata Hamzah dalam kenyataan di sini.

Artikel berkaitan: Khairil Nizam dilantik Ketua Pemuda PN

Selain itu, Majlis Tertinggi PN turut melantik Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Ir Khairil Nizam sebagai Ketua Pemuda PN yang baharu.

“Sayap Pemuda PN yang dipimpin oleh Ir. Ts. Khairil Nizam Khiruddin juga diminta untuk merancakkan lagi aktiviti di peringkat akar umbi agar dapat merapatkan silaturahim antara ahli-ahli parti.

“Majlis Tertinggi percaya keputusan-keputusan ini bakal memantapkan lagi gerak kerja PN di semua peringkat dan menambah baik koordinasi dalam kalangan parti-parti komponen PN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast