KUALA LUMPUR – Polis menerima dua laporan mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari, Young Syefura Othman melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkelah bersama keluarganya di Sepang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat berkata, polis sedang menjalankan siasatan terhadap laporan itu.
“Pengadu seorang lelaki ketika berada di rumah sekitar jam 6.50 petang di Kampung Datuk Ahmad Razali, Dengkil, telah melihat satu Twitter yang menunjukkan seorang ADUN yang dikenali di Twitter dan Instagram dengan nama Young Syefura atau nama sebenarnya Young Syefura Othman (ADUN Ketari Pahang) memuatnaik gambar beliau dan rakan-rakannya sedang berkelah di tepi pantai di Bagan Lalang beramai-ramai tanpa mematuhi SOP PKPB.
“Pengadu terus melihat Instagram Young Syefura dan melihat ada sembilan keping gambar yang baru sahaja dimuatnaik di lokasi yang berhampiran dengan Avani Sepang Goldcoast Resort yang pengadu percaya di Pantai Bagan Lalang.
“Menurut pengadu, Selangor pada ketika ini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang mana aktiviti tersebut pada ketika ini adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fadzil, pengadu dalam laporan itu menjelaskan bukan kali pertama ahli politik ini PKPB.
Menurut pengadu katanya, ADUN itu mengulangi perbuatan mengingkar SOP sehingga rakyat menjadi marah kerana tiada apa-apa tindakan diambil kepada ahli politik sedangkan apabila rakyat biasa yang melanggar SOP tindakan serta merta diambil kepada mereka.
Terdahulu dalam media sosial Young Syefura yang juga dikenali dengan panggilan Rara meminta maaf atas perbuatannya itu dengan menjelaskan beliau sedia disiasat dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa. – MalaysiaGazette