KUALA LUMPUR – Anugerah Kelestarian Kecemerlangan Korporat Asia (ACES) telah memilih tokoh industri perkapalan Malaysia, Tan Sri G. Gnanalingam sebagai Usahawan Tahun 2020.
Ia bagi mengiktiraf kepimpinan beliau yang berwawasan dalam menguruskan satu-satunya pelabuhan milik persendirian di Malaysia.
Pengerusi Eksekutif Westports Malaysia Sdn. Bhd. itu dipilih kerana berjaya untuk merancang dan melaksanakan fasa penambakan tanah pada kos yang lebih kompetitif untuk perluasan terminal kontena gergasinya di sebalik pemberhentian seketika dalam pertumbuhan syarikat pada tahun-tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MORS yang juga Penganjur ACES, Shanggari B berkata, akibat penularan pandemik Covid-19, ketua eksekutif syarikat perlu mengenal pasti cara baru untuk menjalankan perniagaan.
Jelas beliau, ia adalah yang dilakukan mereka yang memenangi ACES tahun ini.
“Pada tahun fiskal ini, fokus kebanyakan syarikat telah bertukar daripada mementingkan keuntungan kepada cara bagaimana untuk bertahan dan meneruskan operasi perniagaan masing-masing.
“Apa yang kita nampak ialah ketangkasan yang diperlukan dalam kepimpinan korporat kini, dengan kebanyakan ketua eksekutif syarikat melaksanakan strategi pengurusan yang drastik supaya perniagaan mereka boleh dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shanggari lagi, apa yang membezakan tahun 2020 daripada tahun-tahun terdahulu ialah kesukaran akibat penularan pandemik yang dihadapi syarikat, organisasi dan ketua eksekutif yang dicalonkan ACES.
“Seperti yang dijangkakan, terdapat peningkatan dalam jumlah calon, dan kecekalan mereka diuji oleh keadaan terkini ketika penularan pandemik Covid19,” tambahnya.
Edisi ke tujuh ACES sepatutnya diadakan di Kuala Lumpur pada tahun ini, setelah Singapura menjadi tuan rumah sejak bermulanya ACES pada 2014, dan selepas itu di Bangkok pada tahun 2019.
Namun akibat penularan pandemik, majlis penganugerahan pada tahun ini terpaksa ditunda ke tarikh lain.
“Ini adalah kekecewaan yang besar bagi saya, terutamanya kerana kami mengalu-alukan barisan pemenang yang cemerlang pada malam itu,” kata Shanggari.
Senarai pemenang termasuk dua personaliti perniagaan yang tidak asing lagi yang menggondol dua daripada tiga kategori anugerah terbesar. – MalaysiaGazette