KUALA LUMPUR – Ibu bapa yang bekerja di sektor awam dan mempunyai anak kecil dan bersekolah dibenarkan bekerja dari rumah ekoran keputusan Kementerian Pendidikan menutup semua sekolah dan taman bimbingan kanak-kanak di seluruh negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang tinggal di negeri yang terkecuali dari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti Perlis, Kelantan dan Pahang juga turut dibenarkan bekerja dari rumah.
“Maknanya dengan persetujuan yang dicapai antara sidang khas menteri dengan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, negeri di seluruh negara dilaksanakan kaedah bekerja dari rumah, tidak terkecuali walau satu negeri pun.
“Ini bagi meringankan beban ibu bapa yang risau tinggalkan anak kecil di rumah kerana mereka terpaksa pergi ke pejabat untuk bekerja.
“Selepas kita mengadakan perbincangan hari ini, ibu bapa tidak perlu bimbang. Kerja dari rumah ini diperluaskan ke seluruh negara termasuk negeri yang tidak di bawah PKPB,” katanya pada sidang media harian Covid-19 hari ini.
Ismail Sabri berkata, arahan itu bagaimanapun tidak termasuk ibu bapa yang bekerja di sektor tidak formal seperti peruncitan, kompleks beli belah, perladangan dan pertanian.
Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), beliau berkata, pelaksanaan PKPD di Taman Mawar, Sandakan akan ditamatkan mulai tengah malam ini kerana kes positif Covid-19 telah pulih sepenuhnya.
“PKPD di Taman Mawar yang bermula sejak 28 Oktober hingga 10 November ditamatkan bermula jam 12.01 tengah malam ini.
“Ini kerana sehingga 6 November lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan 731 saringan dan dari jumlah itu 87 kes kumulatif positif telah direkodkan, manakala 64 kes positif sembuh sepenuh dan baki 23 sedang terima rawatan.
“Maka atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju tamatkan PKPD di Taman Mawar, Sandakan,” katanya.
Bagaimanapun, kata Ismail Sabri, PKPD di Taman Mesra, Sandakan yang juga bermula 28 Oktober lalu akan disambung 14 hari lagi sehingga 24 November ini.
Ini kerana, dari 1,124 saringan yang dilakukan, sebanyak 134 kes kumulatif Covid-19 telah direkodkan.
“Dari jumlah itu, sebanyak 43 kes sembuh dan masih ada 91 kes aktif Covid-19 di kawasan berkenaan.
“Oleh itu, atas nasihat dan penilaian risiko KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD selama 14 sehingga 24 November ini,” katanya. – MalaysiaGazette