Datuk Ab Ghani Hassan.

KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya dapat mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan saingan Piala Malaysia musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan untuk membuat rayuan kepada MKN itu diputuskan selepas mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL  untuk meneruskan saingan piala berprestij musim ini dengan perancangan khas serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu quarantine based.

“Kami sedia maklum mengenai keputusan MKN yang mengambil kira situasi Covid-19 di negara yang menyebabkan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan hingga 6 Disember ini.

“Sebagai contoh, pasukan yang layak ke peringkat suku akhir akan bermain di sebuah negeri hingga ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke perlawanan akhir.

“Pasukan yang kalah pada perlawanan peringkat suku akhir dan separuh akhir akan meninggalkan negeri itu setelah tamat perlawanan.

“Keputusan untuk mengemukakan rayuan ini turut disokong oleh lapan pasukan yang layak ke suku akhir di mana mereka bersedia untuk beraksi mengikut perancangan dan SOP seperti yang ditetapkan oleh MFL dan MKN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MFL sebelum ini menerusi Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin sudah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam mencari jalan untuk meneruskan saingan Piala Malaysia 2020 selepas kerajaan mengumumkan PKPB di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan pada 7 November 2020, iaitu sehari selepas pusingan pertama TM Piala Malaysia bermula.

Ab Ghani berkata, berdasarkan permohonan pertama yang dikemukakan kepada MKN sebelum ini, MFL menyediakan perancangan khas untuk menyambung saingan Piala Malaysia bagi pusingan suku akhir, separuh akhir dan final.

“Dalam surat permohonan itu, MFL menyediakan perancangan untuk meneruskan kejohanan Piala Malaysia 2020 di negeri berkecuali PKPB di mana MFL sudah membuat permohonan untuk menggunakan venue Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk aksi suku akhir, separuh akhir dan final.

“Kami amat berharap agar perancangan ini dapat dipertimbangkan memandangkan penangguhan saingan Piala Malaysia bakal memberi banyak kesan kepada industri bola sepak negara secara keseluruhan.

“Bagi MFL serta semua pasukan bakal terkesan terutamanya dari segi komitmen penajaan yang telah dimeterai dan ditandatangani bersama penaja untuk Liga Malaysia musim 2020 sekiranya pertandingan Piala Malaysia tidak dapat diteruskan.

“Agak sukar untuk MFL menangguhkan kejohanan ini memandangkan kontrak pemain Liga Malaysia 2020 bersama pasukan bakal berakhir pada hujung bulan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast